Friday 18 January 2013

HUJAN RCI DI SABAH, BANJIR KILAT DI MALAYA?






Oleh : MUTALIB M.D

BARU empat hari RCI Sabah bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pemimpin dan mantan pemimpin di Semenanjung Malaysia sudah menggelabah dan membuat pengakuan terbuka di luar mahkamah; umpama kata orang, "hujan RCI di Sabah, tetapi banjir kilat di Malaya?"

Kenyataan Mantan Ketua Pejabat JPN Tamparuli, Yakub Damsah dan beberapa Mantan Pegawai JPN berhubung penglibatan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Aziz Samsuddin yang menyediakan rumahnya di No 18, Kg Pandan, Kuala Lumpur sebagai 'Markas Operasi IC Projek' telah membuatkan adrenalin Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menggelegak.

Sewajarnya, Dr Mahathir tidak memanggil sidang akhbar kelmarin kerana sepatutnya beliau perlu hadir di hadapan Panel RCI dan memberi keterangan di dalam Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu apabila gilirannya tiba.

Tindakan Mahathir membuat kenyataan terbuka melalui persidangan akhbar, ketika isu berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah RCI, jika dilakukan rakyat biasa, akan dianggap sebagai cuba mengganggu prosiding mahkamah atau menghina mahkamah.

Namun oleh kerana dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, maka dijadikan berita utama oleh semua akhbar dan tidak ada pihak yang berani membuat laporan polis atau mengheret Mahathir ke Mahkamah atas tuduhan menghina mahkamah.

Dalam keadaan lautan politik Sabah bergelora, senario politik di Malaya juga bergelombang apabila semua pemimpin Pakatan Rakyat mula menunjukkan belang sebenar membuat kenyataan liar sedangkan mereka boleh mendaftar diri untuk memberi keterangan di hadapan Panel RCI yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Saya tidak lagi mendedahkan isu baru sebaik sahaja RCI bersidang pada Isnin lalu kerana menghormati mahkamah, apatah lagi telah memberi keterangan kepada Panel Penyiasat RCI pada tahun lalu di Kuala Lumpur.

Sebagai Mantan Perdana Menteri, Mahathir sepatutnya bersabar dan bertenang sehingga gilirannya dipanggil memberi keterangan di hadapan Panel RCI agar panel ini dapat melengkapkan siasatan dan mengemukakan laporan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

Oleh kerana Mahathir mendahului masa dan telah menimbulkan 'Tsunami' di hati rakyat Sabah yang marah kepada Malaya, maka tempiasnya akan terpercik ke muka Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Kabinet Malaysia yang tidak terlibat sama.

Daripada enam Perdana Menteri, dua Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir sahaja yang terlibat secara langsung memberi kerakyatan kepada warga asing; kononnya mengikut lunas undang-undang.

Tunku Abdul Rahman memberi kerakyatan kepada lebih satu juta rakyat asing (India dan China) diambang kemerdekaan; sedangkan kerakyatan Malaya ketika itu berdasarkan 'Jus Soli' (tanah kelahiran) dan bukannya 'Jus Sanguinis' (ikatan darah). Senario inilah yang dijadikan 'Mercu Tanda Kerakyatan' (Precedence) oleh Tun Dr  Mahathir ketika beliau melancarkan Ops Gembeling pada 1990-1994.

Persoalannya, jika Tun Razak dan Tun Hussien Onn tidak terlibat, siapakah yang meluluskan kerakyatan kepada Warga Filipina (pelarian perang) dan Indonesia (10,000 berbangsa China Indonesia-mangsa Konfrantasi) di antara 1970 sehingga 1976?

Jika di zaman Tunku Abdul Rahman, Dr Mahathir mendakwa lebih sejuta diberi kerakyatan Malaya melalui pintu hadapan atas tipu muslihat British; berapakah kad pengenalan yang diberikan kepada PATI di Sabah di era Tun Razak (1970-1976); Tun Hussien Onn (1976-1981); Tun Mahathir (1981-2003); Tun Abdullah Badawi (2003-2009) dan Datuk Seri Najib (2009 hingga sekarang)?

Andainya Tun Razak dan Tun Hussien tidak terlibat, siapakah yang meluluskan pemberian kerakyatan Malaysia kepada Warga Asing Filipina dan Indonesia di antara 1972 hingga 1981?

Bagi era Mahathir tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliau mengakui telah merestui Skandal X-Files ini dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub.

Jika Datuk Seri Najib terlibat, kenapa hanya beliau yang mempunyai 'Political Will' menubuhkan RCI sedangkan lima Perdana Menteri sebelum ini mengharamkan RCI?

Persoalannya sekarang, hanya Tun Abdullah dan Mahathir sahaja yang masih hidup untuk dihadapkan ke Mahkamah RCI, sedangkan tiga Perdana Menteri sebelumnya dan Megat Junid telah meninggal dunia?

Untuk menafikan Tun Abdullah (Pak Lah) tidak terlibat adalah agak mustahil kerana pada pilihanraya umum 2008, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing telah menghubungi Pak Lah untuk mendapatkan tambahan pengundi luar, Pak Lah telah mengarahkan beliau bercakap dengan 'Pegawai Khas' yang menangani pengundi luar iaitu Datu Akjan Datu Ali Mohammad @ 'The Sultan of Sulu'.

Agak mengejutkan Bumburing kerana hanya 200 pengundi luar yang dihantar untuk mewakili 800 pengundi kerana masing-masing memegang empat kad pengenalan atau resit sementara yang diterima pakai sebagai dokumen sah oleh SPR. Maklumat selebihnya biarlah Bumburing sahkan sendiri dalam Mahkamah RCI.

Pengakuan serta pendedahan saksi RCI hanyalah ulang tayang apa yang telah saya nyatakan di dalam empat buku saya iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.





Isu pengundi hantu telah saya nyatakan secara meluas dalam buku 'Pengundi Untuk Disewa' dan pernah diharamkan untuk edaran oleh Mahathir kerana saya enggan menukar kulit luarnya yang memaparkan kenyataannya kepada Wartawan Australia, Bob Reece yang antara lain berbunyi; ".....We must accept that there is not going to be a democracy in Malaysia; there never was and there never will be."

Selebihnya akan saya dedahkan di hadapan Panel RCI jika disapena memberi keterangan kerana pengakuan Mahathir kelmarin telah merubah iklim politik di Sabah dan segala-galanya boleh berlaku tanpa diduga; apatah lagi pengakuan Mahathir menjadikan IC PROJEK sebagai SAH menurut undang-undang sehingga SALMAN MAJID yang dilucutkan kerakyatannya dikembalikan sebagai WARGANEGARA Malaysia!

No comments:

Post a Comment