Friday 25 January 2013

IBRAHIM ALI WAJAR MINTA MAAF






Oleh: SHAIMON S JUMADI

MANTAN Yang DiPertuan PERKASA Negeri  Sabah, Dato’ Seri Utama Jeffry Rosman (gambar)  mencabar Presiden PERKASA Malaysia, Datuk Ibrahim Ali memohon supaya maaf secara terbuka kepada masyarakat Islam, di negeri ini atas tindakannya menyuruh Umat Islam membakar Kitab Injil yang menggunakan kalimah 'Allah' yang masih lagi dibicarakan di mahkamah.

Sebagai orang nombor satu dalam perjuangan PERKASA  yang sentiasa mendapat penghormatan dan sanjungan tinggi dari segenap lapisan masyarakat Melayu dan Pribumi di Semenanjung dan di Sabah; sepatutnya  Ibrahim tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan, terutama sekali mengecam agama lain kerana boleh menimbulkan ketegangan antara satu sama lain.

"Di samping itu, senario ini boleh mengurangkan   kepercayaan terhadap perjuangan  PERKASA yang telah lari daripada konsep sebenar  sebagai badan NGO yang kononnya membela dan mempertahankan  hak-hak asasi orang Melayu di negara ini,” ujarnya.

Katanya, kita kena tunggu keputusan mahkamah, sama ada kalimah 'Allah' boleh diguna pakai di dalam kandungan bible atau tidak dan bukan terburu-buru menghasut masyarakat Islam supaya membakar kitab Injil tersebut.

'Perbuatan Ibrahim benar-benar telah menghiris dan melukai hati penganut  Agama Kristian. Pihak Polis dan pihak Kementerian Dalam Negeri harus mengambil tindakan tegas terhadap perilaku Ibrahim kerana boleh mencetus sengketa agama dan rusuhan kaum,” tegasnya.

Jeffry menambah perbuatan terkutuk Ibrahim itu bukan sahaja menjadi kemarahan di kalangan penganut agama Kristian;  bahkan  beliau mendapat kutukan yang bertubi-tubi  di kalangan masyarakat Islam yang tidak setuju mengenai tindakannya.

No comments:

Post a Comment