Wednesday 30 January 2013

INSENTIF UNTUK PERSATUAN BELIA






TAHNIAH ... Peter Pang menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus itu.

Oleh : SAIMON S JUMADI

KEMENTERIAN  Belia dan Sukan Sabah kini mempergiatkan usaha untuk menggalakkan belia-belia menubuhkan badan berpersatuan.

Menterinya, Datuk Peter Pang En Yin berkata, misi kementerian pada tahun ini ialah untuk menubuhkan 1PERSATUAN 1KAMPUNG di mana banyak faedah yang dapat dimanfaatkan sekiranya golongan berkenaan tampil menubuhkan persatuan.

Untuk tujuan itu, ujar beliau, kementerian akan memberi Geran secara 'One-Off' sebagai insentif Pengurusan Persatuan Berdaftar berjumlah RM1,000 dan Geran RM5,000 untuk melaksanakan aktiviti berpandukan kertas kerja dan laporan aktiviti yang boleh dipohon oleh mana-mana persatuan belia berdaftar.

"Setakat ini, sebanyak 397 badan persatuan belia di seluruh Sabah telah didaftarkan oleh ROS manakala bagi daerah Sandakan sahaja 10 badan persatuan berdaftar dan 9 lagi badan yang sedang menanti untuk didaftar," katanya kelmarin.
Peter Pang berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kemahiran dan Keusahawanan Bahagian Pembangunan Belia Kementerian Belia dan Sukan Negeri peringkat Daerah Sandakan di Bangunan Persatuan Tongkang, Kampung Pukat, di sini.

Dalam pada itu, katanya, kementerian beliau menganjur program tersebut adalah bertujuan untuk membimbing belia yang tercicir terutama dari luar bandar.

Tambahnya, menerusi program seumpama ini boleh membantu merubah gaya hidup mereka ke arah kehidupan yang lebih positif dan bermakna. 

Ini katanya, sepanjang kursus para peserta program didedahkan dengan ilmu dan kemahiran sebagai persiapan dalam usaha membantu memilih kerjaya masa depan mahu pun membantu memperkasa keyakinan diri apabila terkeluar daripada hidup kebiasaan mereka.

Untuk rekod, beritahunya, pihak kementerian pada tahun lepas sahaja telah melatih seramai 1,020 belia yang berumur 17 hingga 40 tahun dalam pelbagai program kemahiran dan keusahawanan jangka pendek dari seluruh daerah di negeri ini.

"Demi untuk menyahut dan menunaikan permintaan serta kehendak belia-belia supaya memperbanyakkan aktiviti riadah dan kemahiran 'hands-on' di Daerah Sandakan, kementerian saya pada bulan Januari ini, sudah menganjurkan dua program untuk para Sandakan iaitu Bengkel Taekwondo melibatkan 50 peserta dan program kemahiran melibatkan 40 peserta.

"Banyak lagi program yang akan menyusul dianjurkan seperti Program 9 Teras, Program Kepimpinan dan Program Aktiviti Kesukanan serta program persatuan akar umbi yang akan diadakan dengan bantuan dan sokongan kementerian saya.

"Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman melalui kementerian amat prihatin dan peka dengan keperluan serta kebajikan rakyat khasnya belia-belia yang perlu pembelaan," jelasnya.

Beliau memerlukan maklumbalas belia dari segi pendapat serta cadangan penambahbaikan demi meningkatkan lagi pelbagai kemahiran mereka.

Sehubungan itu, beliau menyarankan 40 peserta yang mengikuti kursus membuat pelbagai kek ini supaya terus mempraktik dan meningkatkan kemahiran yang diperolehi untuk kemajuan diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

No comments:

Post a Comment