Monday 14 January 2013

JANGAN BERJUBAHKAN IMUNITI POLIS








Saudara Pengarang,

SAYA merujuk kepada kenyataan oleh OCPD Daerah Ranau berkaitan penahanan seorang penduduk pribumi  berasal dari Ranau, Cyprian Rustin (CR), berakibat daripada isu pencerobohan tanah adat oleh taukeh dari syarikat tertentu.

Apa yang saya fahami daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh OCPD Daerah Ranau tersebut ialah penahanan ke atas CR  itu bukan atas isu pencerobohan tanah adat tetapi atas isu ‘Ugutan Jenayah’ atau terma yang biasa digunakan oleh polis sebagai ‘Criminal Intimidation’. 

Pembaca Sabahkini.net tidak pula dimaklumkan apa dia perkataan yang telah dikeluarkan oleh CR melainkan hanya suatu kenyataan bersifat umum daripada OCPD Daerah Ranau.

Di mana-mana kesempatan dalam setiap ceramah umum, saya selalu mengungkapkan kata-kata bahawa saya akan pertahankan mana-mana individu atau kelompok masyarakat yang teraniaya dan dizalimi, tidak kira sama ada dia Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau apa-apa agama sekali pun.

Saya akan tentang habis-habisan mana-mana individu, pemimpin  atau pihak berkuasa yang  jahat dan zalim, walau dia beragama Islam. Itulah  tarbiyyah yang saya terima dari pemimpin-pemimpin dan ulama-ulama PAS sepanjang lebih 29 tahun saya berada dalam PAS.

Penahanan CR memang tidak adil, zalim dan hanya menggambarkan sikap 'double standard' pihak polis dalam menangani sesuatu kes.

Tahun lepas, seorang yang bernama Yong Ah Choi, telah mengeluarkan kata-kata ‘SAYA BUNUH KAMU’ ke atas seorang penduduk pribumi, Daud Hj. Hussin, yang tanah mereka diceroboh di kawasan Rancangan Sg. Manila.

Yong Ah Choi telah mengeluarkan kata-kata yang secara jelas (explicit) mengandungi elemen ‘CRIMINAL INTIMIDATION’ ke atas Daud Hj. Hussin, di hadapan Korporal Zaini, bertempat di Balai Polis Rancangan Sg. Manila, ketika Daud Hj. Hussin datang untuk membuat laporan polis di Balai Polis Rancangan Sg. Manila.

Korporal Zaini tidak pula menahan Yong Ah Choi dan membiarkannya bebas tanpa sebarang tindakan. Pada keesokan harinya apabila Daud Hj. Hussin datang berjumpa saya di bandar, saya terus menelefon Korporal Zaini dan mengancam untuk menghantar laporan kepada Ketua Polis Negara, jika Korporal Zaini enggan menerima laporan polis Daud Hj Hussin dan seterusnya bertindak ke atas Yong Ah Choi.

Akhirnya, apabila Korporal Zaini akur atas kecuaiannya, maka dia   telah meminta saya membawa Daud Hj. Hussin  membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sandakan.

Korporal SM Ready yang bertanggungjawab menerima laporan tersebut berjanji untuk menahan Yong Ah Choi. Tetapi malangnya tiada tangkapan atau penahanan dibuat ke atas Yong Ah Choi dan sehingga saat ini Yong Ah Choi terus menunjukkan belangnya ke atas para pemilik tanah di Rancangan Sg. Manila.

Yong Ah Choi terus mendakwa bahawa beberapa lot tanah yang sudah bergeran adalah miliknya walaupun tiada pengesahan dari Jabatan Tanah. Tetapi penipuan licik Yong Ah Choi akhirnya terbongkar apabila tanah yang sudah bergeran yang didakwa milik Yong Ah Choi, adalah sebenarnya milik seorang doktor pribumi di Sg. Manila.

Insiden di atas hanya satu dari banyak insiden-insiden yang pernah saya tangani yang secara jelas menunjukkan sikap 'double standard' pihak polis.

Dalam satu insiden lain di Bukit Garam, seorang yang bernama Ibrahim telah disumbat ke dalam lokap selama beberapa hari hanya kerana menentang pencerobohan tanah oleh sebuah syarikat milik taukeh yang memiliki Sijil Anak Negeri palsu.

Saya terlibat secara langsung dan terpaksa berdepan dengan OCPD Kinabatangan masa itu yang bernama DSP Baharuddin. Seorang peneroka yang bernama Yunus dari Kinabatangan, juga telah disumbat ke dalam lokap hanya kerana mempertahankan haknya dan tiada apa-apa kata-kata ancaman yang dikeluarkan oleh beliau.

Seorang yang bernama Amin telah disumbat ke dalam lokap oleh Inspektor Michael Tingkas hanya kononnya memiliki dokumen palsu. Inspektor Michael meminta sejumlah RM1,600.00 daripada Amin jika mahu dibebaskan.

Pada ketika beliau disumbat ke dalam lokap, beliau yang baru balik dari kerja sebagai Pembantu Juru Ukur, menghidap sakit malaria. Walaupun keluarga Amin sudah memenuhi tuntutan Inspektor Michael dengan menyerahkan sejumlah RM1,600 kepada beliau, Amin masih juga ditahan dalam lokap.

Saya telah menghubungi pihak JPN Kuala Lumpur dan mendapat pengesahan bertulis bahawa dokumen beliau adalah sah. Akhirnya, saya berjumpa Inspektor Michael dan menuntut supaya dipulangkan wang RM1,600 kepada Amin. Akhirnya, Inspektor Michael terpaksa menyerahkan kembali wang tersebut kepada Amin.

Wahai rakyat pribumi Sabah, sedarlah kalian, selagi UMNO/BN terus menerus berkuasa di bumi Sabah khususnya, maka selama itulah kalian akan ditindas dan dizalimi oleh institusi yang tunduk di bawah kekuasaan UMNO/BN.

Jabatan Tanah dan Ukur di bawah Pengarahnya, Datuk Osman Jamal, telah banyak menganiaya penduduk pribumi dengan nenafikan hak-hak mereka ke atas tanah yang telah dipohon dan diusahakan sejak puluhan tahun lamanya.

Pastikan ini kali lah, undi kalian diberikan kepada Pakatan Rakyat. Apa yang dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Tanah dan Ukur ini biarlah menjadi penyumbang kepada kejatuhan kerajaan UMNO/BN pada PRU ke13 ini.

Sekurang-kurangnya pihak polis dan Jabatan Tanah dan Ukur mempunyai saham di atas kejatuhan kerajaan zalim UMNO/BN!

Ini kalilah TUKAAAAAAR!

Salam Hormat,

HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah

No comments:

Post a Comment