Wednesday 23 January 2013

'JUTAWAN SEGERA BEAUFORT' JUAL NAMA BNM?






KAYA MENGEJUT...anggota sindiket memperolehi ratusan juta secara tiba-tiba dan memiliki harta yang banyak serta berpuluh kereta mewah dalam masa singkat.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

BEBERAPA orang pemilik tanah di Beaufort, Kuala Penyu dan Keningau didakwa diperdaya oleh anggota sindiket yang mempergunakan salinan geran tanah dan kad pengenalan mereka untuk melakukan penipuan terancang dengan mengaitkan nama Bank Negara Malaysia.

Anggota sindiket itu dipercayai melibatkan pemimpin sebuah parti politik KDM di Beaufort dan dikatakan memperalatkan nama-nama pemilik tanah tersebut selepas diyakinkan bahawa mereka diberi wang dalam jumlah besar sekiranya mereka bersetuju dengan urusan yang dilakukan di Bank Negara.

Individu yang disyaki menjadi perancang sindiket itu pada waktu ini tiba-tiba menjadi kaya raya sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai di kawasan Parlimen Beaufort.

Kemewahan secara mengejut individu berkenaan dapat dilihat berdasarkan gaya kehidupan mewah mereka di samping pemilikan harta yang melimpah ruah, pembelian tanah bernilai tinggi dalam tempoh beberapa bulan sahaja serta pembelian berpuluh buah kereta mewah seperti ninja super king dan ia menimbulkan kehairanan rakyat.

Parti pembangkang khusus pemimpin PKR di kawasan ini dikatakan sedang menyelidiki bagaimana individu berkenaan tiba-tiba memperolehi wang yang banyak dalam jangka masa singkat kerana mereka tiada perniagaan tetap atau projek dari kerajaan.

Seorang pemilik tanah yang mendakwa menjadi mangsa sindiket itu mengakui, dia telah menyerahkan salinan geran tanah dan salinan kad pengenalannya kepada wakil kumpulan itu selepas mereka menjanjikan bayaran wang lumayan setelah selesai urusan dengan Bank Negara.

“Kami menuruti sahaja kemahuan mereka, siapa yang tidak mahu wang banyak jika diberi tapi yang jadi kaya raya mereka sahaja.” jelasnya.

Katanya, tanahnya dengan keluasan hampir 20 ekar dijanjikan akan dibayar dengan bayaran lumayan yang menyebabkan dia memberi persetujuan.

“Saya hanya diberitahu oleh mereka, tanah itu diperlukan oleh BNM dan saya akan dibayar dengan wang yang lumayan setelah segala-gala urusan selesai. Saya tak mahu tahu sama ada mereka melakukan penipuan, saya hanya mahu duit yang dijanjikan” katanya namun selepas itu tidak diberitahu perkembangan urusan mereka itu.

Yang peliknya, menurut beliau, individu terlibat yang memang dia kenali tiba-tiba hidup mewah secara mendadak dengan membeli berpuluh-puluh buah kereta mewah selain gaya hidup mereka berubah dengan mendadak malah penduduk kampung juga tertanya-tanya dan kehairanan dengan kemewahan mereka seperti seolah-olah “menang loteri”.

Katanya, ada juga mangsa lain telah terhidu bahawa sindiket berkenaan telah mempergunakan nama dan salinan geran tanah mereka untuk melakukan penipuan terancang yang kemungkinan turut melibatkan pegawai-pegawai tertentu di BNM.

Mangsa itu yang rasa aneh dengan kemewahaan secara tiba-tiba individu terlibat mahu pihak BNM supaya menjelaskan tindakan sindiket mengaitkan nama institusi kewangan utama negara itu.

“Kami harap BNM mengeluarkan kenyataan mengenai mengapa sindiket terbabit mempergunakan nama BNM. Apa yang berlaku sebenarnya, adakah nama kami dan salinan geran tanah kami hanya dijadikan alat untuk mengeluarkan wang haram,” ujarnya sambil menekankan agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melakukan siasatan kerana mungkin melibatkan sindiket penipuan besar-besaran.

Beliau juga berikrar untuk mendedahkan nama individu terlibat yang mendatangi mereka berhubung urusan pembayaran tanah mereka yang dikatakan dilakukan BNM itu.

“Kemungkinan kami hanya jadi alat, habuk pun kami tidak dapat tapi mereka pula sudah jadi kaya raya dengan tiba-tiba. Mereka ini sangat merbahaya apa lagi mereka terlibat dengan parti politik,” dakwanya.

Namun beliau memberi amaran individu terlibat walaupun mereka orang politik mungkin perbuatan mereka akan dapat dijejaki kerana “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah jua.”

“Kami akan membuat aduan polis selepas ini sekiranya terbukti nama kami dan salinan geran tanah itu didapati mereka pergunakan untuk melakukan penipuan dengan BNM dan kami bila-bila sahaja boleh mendedahkan nama-nama mereka kepada pihak berkuasa,” terangnya.

No comments:

Post a Comment