Wednesday 16 January 2013

KERAJAAN BN KOTAKAN JANJI






BERSYUKUR ... Awang Damit (dua kanan) di samping isteri serta anak-anaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan BN khususnya Datuk Seri Shafie di atas inisiatif yang membolehkan mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Air Sandakan menduduki rumah-rumah PPRT sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SEORANG  penduduk di Kampung Air yang terlibat dalam satu kebakaran kira-kira 11 tahun lepas merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal di atas keprihatinannya membantu rakyat menerusi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Awang Damit Amat memberitahu sebahagian besar mangsa-mangsa kebakaran kini telah pun mempunyai rumah PPRT yang bukan sahaja memberi keselesaan kepada penghuni malah menambah keyakinan mereka terhadap kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keprihatinan pihak kerajaan ini membuktikan bahawa komitmen membantu rakyat tidak pernah putus sekali gus membolehkan rakyat terutama golongan yang amat memerlukan untuk merasai nikmat pembangunan.

Katanya, kerajaan terbukti tidak berjanji kosong apabila pembinaan rumah-rumah PPRT akhirnya menjadi kenyataan dengan setiap mangsa kebakaran di kampung berkenaan pasti mendapat bantuan biarpun secara berperingkat-peringkat.

"Sebanyak 62 rumah musnah dalam satu kejadikan kebakaran yang berlaku di kampung kami pada tahun 2002 ... kami bersyukur apabila kira-kira 30 mangsa kebakaran termasuk saya sendiri sudah menduduki rumah PPRT ini sejak tahun lepas.

"Saya difahamkan sepuluh lagi rumah-rumah PPRT akan dibina tidak lama lagi yang disusuli baki sedia ada," jelasnya semasa ditemui Sabahkini.Net  di kediaman rumah PPRT beliau di Kampung Air, dekat sini, kelmarin.

Serentak itu, Awang Damit, 54, menasihatkan rakyat terutama pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting agar memberi sokongan padu terhadap kerajaan BN.

Ini katanya, tiada parti melainkan BN sahaja mampu membawa perubahan dari segi pembangunan dan kestabilan politik ketika negara mencapai sebuah negara maju menjelang Wawasan 2020.

Tambah beliau, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan apa jua dakyah yang cuba dilemparkan kumpulan pembangkang memandangkan ia tidak boleh dipercayai hanya bertujuan untuk kepentingan agenda politik sempit.

Beliau menegaskan andai dibandingkan dengan kerajaan BN amat jauh sekali kerana kerajaan hari ini benar-benar bertanggungjawab apatah lagi sesuatu bentuk pembangunan dirasai semua kaum.

"Saya mengambil contoh pembinaan rumah-rumah PPRT untuk para mangsa kebakaran di Kampung Air ini ... ia adalah satu janji pilihanraya, tetapi hari ini kita dapat menyaksikan sendiri kepimpinan BN berjaya mengotakan janji mereka.

"Inilah kerajaan yang wajar kita beri sokongan untuk meneruskan tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 nanti. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Seri Shafie atas keprihatinan beliau dalam mengotakan janji sekali gus membolehkan kami menduduki rumah PPRT itu," ujar Awang Damit yang merupakan bekas pekerja operator boiler dan mempunyai tiga orang anak ini.

Sementara itu, mantan Setiausaha Kerja di Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Batu Sapi, Abdul Raman Amat pula turut berterima kasih kepada Datuk Seri Shafie kerana melaksanakan pembinaan rumah-rumah PPRT di kampung tersebut.

Katanya, melalui pembinaan ini membolehkan mangsa-mangsa kebakaran menduduki rumah yang memberikan keselesaan jangka panjang kepada mereka.

"Tentu sekali ia menambah keyakinan serta kepercayaan rakyat untuk terus menyokong BN pada PRU ke-13 nanti. Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Shafei diatas keprihatinannya dalam membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

"Saya yakin BN akan mendapat mandat pemerintahan semula berdasarkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu tidak pernah pudar lebih-lebih lagi komitmennya sentiasa mendahulukan rakyat terutama di peringkat akar umbi," kata Raman, 47, dari Kg Gas Batu Sapi.

No comments:

Post a Comment