Monday 14 January 2013

KOMPLEKS SUKAN SEMPORNA RMK-10




                  
BELIA...Dato Sri Nasir (kanan) beramah mesra bersama sebahagian belia yang turut menyertai kejohanan Futsal itu di Jamah Futsal Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA : Kerajaan telah mengenal pasti kawasan tanah seluas 25 hektar bagi cadangan tapak pembinaan Kompleks Sukan Daerah Semporna, kata Menteri diJabatan Ketua Menteri  Sabah, Dato Sri Nasir Tun Sakaran.

Katanya, cadangan pembinaan kompleks sukan itu telahpun dimasukkan dalam RMK10 dan kini masih menunggu kelulusan pihak kerajaan.

Nasir  berkata pembinaan kompleks sukan itu amatlah diperlukan bagi meningkatkan lagi pembangunan sukan di daerah itu di samping menampung aktiviti-aktiviti sukan termasuk sukan Futsal yang kini semakin popular di kalangan belia daerah itu.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan Kejohanan Futsal  Tertutup Daerah Semporna  anjuran Kementerian Belia Dan Sukan Sabah, Daerah Semporna dengan kerjasama UPKR Dun Senallang di Jamah Futsal dekat sini.

Hadir sama sempena majlis itu Pegawai Daerah Semporna, Abdul Muhammad Ibnu A.K.Baba; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Tahir Haji Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani dan Pengerusi Penganjur merangkap Pegawai Kementerian Belia Dan sukan Sabah Daerah Semporna, Marasun Hassim.




1FUTSAL....Dato Sri Nasir (berdiri tengah) bersama A.M.Ibnu (berdiri tengah kiri) dan Marasun (empat kiri) mengabadikan kenangan bersama sebahagian belia dan remaja yang menyertai kejohanan futsal itu di Jamah Futsal Semporna.

Kejohanan itu disertai lebih 70 pasukan Futsal yang terdiri daripada belia-belia dan golongan remaja sekitar daerah itu dan merebut piala Dato Sri Nasir.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, berkata sukan futsal kini semakin diminati golongan belia dan remaja termasuk pelajar-pelajar sekolah perlu diberikan ruang menyertai sukan yang mampu membina mental yang sihat dan mengisi masa lapang dengan aktiviti seperti sukan futsal serta boleh menghindarkan mereka daripada aktiviti negatif.
Sehubungan itu beliau menyeru belia-belia bijak mempergunakan masa terluang mereka dan tidak terjebak  dengan aktiviti negatif yang boleh merugikan diri sendiri.

“Tarikan sukan futsal ketika ini amat ketara sekali berbanding sukan lain seperti badminton dan bola sepak. Walaupun sejarah futsal di negara ini masih baru, perkembangannya sejak beberapa tahun ini sangat mendadak,” kata Nasir.

No comments:

Post a Comment