Thursday 3 January 2013

PELANCARAN ‘THE BLACK ROSE’ BATAL





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Rancangan Deepak Jaikishan untuk melancarkan bukunya bertajuk 'The Black Rose' dibatalkan gara-gara pendedahan Rafizi Ramli berhubung pembelian barang kemas dari Hong Kong, kata usahawan karpet itu.

Usahawan itu bagaimanapun turut mengakui bahawa beliau adalah penulis buku 26 muka surat itu, yang dakwanya kisah sebenar di sebalik akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat peribadi P Balasubramaniam.

“Ya ... Saya ambil masa sehari untuk draf semua benda,” kata Deepak (gambar) ketika sidang media hari ini.

Jelas Deepak, beliau bagaimanapun tidak bercadang untuk menjual buku tersebut, sebaliknya ia hanya akan dimuat naik ke internet, dan boleh dimuatturun secara percuma.

“Saya tidak mengejar keuntungan, saya menceritakan perkara yang benar,” katanya.

“Saya akan letak ‘bebas hak cipta’ ... Kalau nak cetak, silakan.”

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa naskhah buku itu yang tersebut yang telah siap dicetak yang hanya akan diedarkan kepada rakan dan sahabat handai terdekat.

Buku 26 muka surat dengan tajuk “The Black Rose — Black Rose 1.0” yang dikirimkan melalui emel itu menggunakan nama “Spirit of Altantuya” sebagai penulisnya.

Buku itu, bagaimanapun tidak menggunakan nama sebenar watak terlibat, sebaliknya jalan cerita buku tersebut menggunakan nama samaran untuk watak-wataknya seperti Kapeed, Black Rose, Bijan dan ramai lagi.

Deepak baru-baru ini mencetuskan kontroversi dan mendapat perhatian umum apabila mendakwa beliau telah ditipu Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah berhubung pembelian tanah di Bukit Raja.

Beliau juga turut melakukan beberapa pendedahan berhubung penglibatannya dalam SD kedua Bala mengaitkan kes pembunuhan model Altantuyaa Shaariibuu pada tahun 2006.

Buku berkenaan turut menyatakan akan ada siri kedua yang akan menggunakan tajuk “Black Magic Women.”

No comments:

Post a Comment