Wednesday 9 January 2013

PELANCONG LELAKI MATI DALAM TANDAS






MAYAT....Anggota polis membawa mayat mangsa ke hospital.

Oleh : YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Seorang pelancong lelaki warga Perancis ditemui mati dalam tandas dengan kesan luka pada kedua-dua tangan dan lehernya dipercayai bunuh diri di sebuah penginapan murah di pusat Bandar Sandakan.

Mangsa yang dikenali sebagai Clement Maxime Benjamin Barre, 29, ditemui mati oleh pekerja rumah penginapan berkenaan.

Pihak polis yang dimaklumkan berhubung insiden itu bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Mangsa dipercayai telah mati antara jam 7 dan 7.30 malam ditemui oleh pihak polis dalam tandas dengan kesan luka di kedua tangan dan leher.

Semasa pemeriksaan pihak polis juga telah menemui pisau dipercayai pisau pemotong kertas di tempat kejadian.

Pihak polis juga turut menjumpai satu nota yang dipercayai ditulis oleh mangsa dalam bahasa Perancis dan wang tunai.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar oleh pihak polis ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat.

Difahamkan mangsa yang datang melancong ke sini dengan teman wanitanya telah menginap di situ pada 4 Januari, dan pada 6 Januari pasangan itu telah ke Sukau.

Mangsa telah mendaftar masuk semula ke penginapan berkenaan seorang diri pada petang 7 Januari manakala teman wanitanya ke Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Fadzil Mohd Ali yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. (UB)

No comments:

Post a Comment