Monday 21 January 2013

PEMBANGKANG SUKAR MANIPULASI RAKYAT






Oleh: SAIMON S JUMADI

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat sentiasa memberi fokus kepada pembangunan asas agar kebajikan masyarakat setempat terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat jelata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah berkata demikian di majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2013 yang membabitkan lima buah sekolah rendah di Bukit Garam, Kinabatangan, kelmarin.

Antara sekolah terlibat dalam program penyerahan bantuan sedemikian ialah SK Bukit Garam, SK Buang Sayang, SK Singgah Manis dan SK Sinar Jaya.

Dengan adanya bantuan sedemikian, kata Masiung, ia dapat membantu meringankan beban kepada ibubapa yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pelajaran anak-anak mereka.

“Saya sebagai wakil rakyat yang dipilih  tidak rasa jemu dan bosan akan terus membantu rakyat  yang kurang berkemampuan agar mendapat pelbagai kemudahan selaras dengan konsep Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan janji ditepati," ujarnya.

Masiung berkata, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu dan berupaya merobah corak kehidupan rakyatnya kerana begitu prihatin memberikan pelbagai jenis bantuan termasuk PPRT, BR1M dan sebagainya.

Walaupun kerajaan telah memberikan pelbagai kemudahan untuk kesejahteraan rakyat, namun telah dieksplotasikan oleh parti pembangkang yang melemparkan pelbagai tohmahan, cemuhan  kepada para pemimpin BN yang bekerja keras selama ini.

“Namun rakyat sekarang bukan seperti di era 70-an yang senang digula-gulakan kerana mereka kini sudah pandai menilai parti mana yang boleh membawa kemajuan kepada negara, bangsa dan agama. Kalau sekadar air liur sahaja, rakyat sudah bosan dengan janji-janji manis pembangkang,” jelas Masiung yang menggesa rakyat di Kuamut agar jangan mendengar hasutan pembangkang yang bertujuan untuk mengeliru dan memecahbelahkan perpaduan rakyat di dalam Barisan Nasional (BN).

No comments:

Post a Comment