Thursday 17 January 2013

PERJUANGAN NASIR TIDAK PERNAH TERHENTI



 
      
         
TIBA...Dato Sri Nasir (tengah) diringi Pegawai Belia & Sukan, Marasun Hassin (belakang tengah) tiba di jeti sempena majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan lawatan PDM Pulau Mabul, Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA: Perjuangan berterusan membela rakyat tidak akan pernah terhenti selagi masih ada rakyat memerlukan bantuan dan kerajaan akan meneruskan program Tradisi Membela Rakyat, Janji DiTepati melalui pelbagai pendekatan serta Ziarah Rakyat semata-mata untuk mendengar  sendiri keluhan dan nadi rakyat di peringkat akar umbi.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran, berkata  kerajaan juga sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dengan menempatkan pos kawalan pasukan keselamatan di pulau-pulau bagi memastikan setiap kawasan pulau di perairan Negara bebas daripada ancaman selain menyediakan masjid/surau; balairaya dan kemudahan  persekolahan.

Nasir menjelaskan, kerajaan tidak pernah meminggirkan rakyat dari arus pembangunan dan akan terus memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira sukubangsa, anutan agama mahupun fahaman politik.

Beliau berkata demikian sempena lawatan ke pulau Mabul dalam program Pemimpin Bersama Rakyat & Lawatan ke Pusat Daerah Mengundi  Pulau Mabul (PDMPM).

Turut serta dalam rombongan itu Setiausaha Bahagian UMNO Semporna, Abd Rashid Mamun; Pemimpin UPKR Dun Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Hj Musa Sabaani; Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, ADDO Abdullah Sukka; Pegawai Belia & Sukan Neger (S), Marasun Hassim dan Pegawai Perhubungan DUN Senallang, Haji Zainal Jalaludin.




PELANCONG...Dato Sri Nasir (tiga kanan) diringi Haji Karino Jelani (dua kanan) berbual mesra bersama tiga orang pelancong asing yang sedang bercuti di pulau Mabul,Semporna.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, berkata apa yang penting segenap lapisan rakyat hendaklah terus bersatu padu dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional demi kesinambungan  pembangunan berterusan serta kemajuan dan kemakmuran Negara.

Katanya, rakyat seharusnya bersyukur kerana Negara kita terpelihara dari pelbagai bencana alam dan rusuhan kaum seperti di Negara-negara lain di dunia yang sentiasa bergolak akibat ketidak kesepakatan dan mendengar hasutan anasir-anasir yang suka menyebar propaganda untuk mengelirukan pemikiran rakyat.

Beliau menegaskan, rakyat juga harus sentiasa merenung kebaikan yang sekian lama dibawah kerajaan Barisan Nasional membela nasib rakyat termasuklah di pulau Mabul.

Sempena majlis itu nasir dan rombongan diberikan taklimat ringkas mengenai perkembangan dan gerakan Pusat daerah Mengundi Pulau Mabul oleh KPDM, Haji Karino Jelani.

Nasir yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna,meminta semua penduduk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara turun mengundi apabila masa pilihanraya tiba serta tidak mensia-siakan peluang mereka turut menentukan kerajaan yang bertanggungjawab membela nasib rakyat.
“Janganlah memandang ringan proses demokrasi melalui pilihanraya, tunaikanlah tanggungjawab serta bersatupadu kita demi  kemajuan pembangunan berterusan, keamanan dan kemakmuran,” kata Nasir.

Pulau Mabul kini mempunyai Pusat daerah Mengundi sendiri  dan tidak lagi pengundi bersusah payah menyeberangi lautan semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi semasa pilihanraya.

Sebelum ini pengundi-pengundi di pulau Mabul terpaksa meredah lautan untuk membuang undi di beberapa Pusat daerah Mengundi di tanah besar Semporna serta berhadapan dengan masalah pengangkutan laut.

No comments:

Post a Comment