Tuesday 29 January 2013

PERTAHAN SENIBUDAYA WARISAN BANGSA







JUARA IGAL-IGAL...Pengalai Noraini Manurat berpakaian tradisi suku Bajau pantai timur mempersembahkan tarian Igal-Igal sempena pertandingan Igal-Igal di Kampung Tampi-Tampi,Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA: Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Nasir Tun Sakaran, menyarankan generasi muda mempertahankan senibudaya bangsa melalui tarian-tarian tradisi dengan mempelajarinya supaya tidak lenyap ditelan zaman.

Katanya, tarian-tarian tradisi yang meliputi muzik dan pakaian tradisi melambangkan martabat sesebuah sukukaum dan perlulah dipelihara sebagai khazanah warisan negeri ini yang memiliki lebih 30 etnik serta hidup dalam rukun dan damai.

Beliau berkata demikian di majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Pertandingan Tarian Igal-Igal anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Tampi-Tampi dekat sini semalam.

Sempena majlis itu pelbagai acara diadakan termasuklah pertandingan futsal, tarik tali dan tarian tradisi Igal-Igal.

Hadirsama sempena majlis itu Ketua Wanita Usia Daerah Semporna yang juga isteri Dato Sri Nasir, Datin Sri Rukiah Badar; Pegawai Perhubungan ADUN Senallang, Haji Zainal Jalaludin; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Kawasan Senallang, Roslan Jalaludin; Ketua Kampung Tampi-Tampi, Panglima Maharadja Habibun Maharadja Gausal; Panglima Haji Nurillah serta Ahli-Ahli Jawatankuasa PDM Zon Tampi-Tampi.

Nasir berkata, selain menjadi kemegahan setiap sukukaum, seni budaya juga merupakan daya tarikan pelancong serta mampu mengukuhkan perpaduan di kalangan sukukaum negeri ini melalui pertandingan mahupun persembahan kebudayaan dalam sesebuah majlis keramaian.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini sentiasa memelihara adat dan budaya masing-masing sambil memberikan tunjuk ajar kepada generasi muda yang menjadi penerus kepimpinan Negara masa depan.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, menasihatkan rakyat di kawasan itu sentiasa mewujudkan perasaan muhibbah dan saling mengukuhkan perpaduan serta memelihara pertalian persaudaraan demi kesejahteraan hidup berkampung mahupun bermasyarakat.

Katanya, tanpa perpaduan kaum yang menjadi teras utama keamanan dan kemakmuran Negara sudah tentu kita tidak akan dapat menikmati kesejahteraan hidup serta tidak dapat menikmati pembangunan berterusan yang menjadi lambang kemajuan sesebuah Negara.

No comments:

Post a Comment