Tuesday 15 January 2013

PM UCAP TERIMA KASIH PADA PAKATAN



         

Oleh : HAZLAN ZAKARIA

           
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan penghargaan kepada Pakatan Rakyat atas tindakan semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menurutnya menunjukkan kejayaan politik BN dan reformasi kerajaan.

Katanya, walaupun beliau tidak bersetuju dengan pembangkang, beliau berterima kasih kerana kumpulan berkenaan menghormati semangat Akta Perhimpunan Aman.

Beliau berkata demikian semasa pembukaan satu persidangan undang-undang di Kuala Lumpur kelmarin.

Tambahnya, itu menunjukkan bahawa Islam atau reformasi yang dijalankan BN adalah tepat.

Najib turut memuji pihak berkuasa atas tindakan profesional mereka semasa perhimpunan yang membanjiri Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya diterjemah dan diterima oleh rakyat sehingga membolehkan pembangkang mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu lalu.

Khairy berkata, tanpa transformasi seperti dilakukan ke atas Akta Perhimpunan Aman, rakyat tidak dapat melihat senario seperti diadakan pada Sabtu lalu di negara ini.

Bagaimanapun, beliau turut menyifatkan himpunan tersebut sebagai gagal mencapai sasaran seperti diuar-uarkan penganjur iaitu sebanyak satu juta orang.

“Tanpa transformasi, tanpa akta perhimpunan aman, kebebasan bersuara kita tidak akan nampak senario tersebut (seperti Sabtu lalu). Pemuda Barisan Nasional menganggap ia transformasi ke atas kebebasan bersuara dan melalui persekitaran baru ini kita perlu terima.

“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa yang berjaya menguasai keadaaan tanpa sebarang provokasi. Bagi kami (Pemuda BN) tiada apa yang penting dengan himpunan ini. Namun yang utama himpunan dijalankan dengan aman dan bebas.

“Namun saya difahamkan PAS tidak puas hati dengan DAP sebab penyokong dari kalangan bukan Melayu tidak ramai. Maka mereka (penganjur) kena tanya mereka sendiri mengapa ini terjadi,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman dengan MyEg mengenai program BL1M di sini, kelmarin.

Ditanya mengenai penyertaan mahasiswa mahupun anak muda dalam himpunan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau nyata tidak bimbang tentang perkata tersebut.

Namun beliau mengelak daripada membuat kesimpulan bahawa majoriti anak muda menyertai himpunan itu.

`Segelintir menyokong pembangkang’

“Ramai orang muda dan mahasiswa tidak pergi, maka jangan buat kesimpulan bahawa semua orang pergi. Saya tidak risau tentang hal ini kerana kita perlu terima hakikat bahawa ada segelintir yang menyokong pembangkang.

“Ini kita lihat pada pilihan raya umum lalu, pembangkang memperoleh tiga juta undi daripada rakyat. Maka tidak hairan dalam undi itu ada undi anak muda,” jelasnya.

Menyentuh mengenai keputusan mesyuarat Majlis Syura PAS lewat malam tadi bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu, Khairy menyifatkan PAS hanya tunduk dengan desakan politik semata-mata.

Menurut beliau, keputusan itu juga menampilkan bahawa PAS sebagai parti yang tidak berprinsip.

“PAS sudah tunduk dengan desakan politik, bukan berasaskan nas agama tapi sudut perkiraan politik,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan bahawa kira-kira 500,000 pemohon baru lesen motosikal kelas B2 berpeluang menikmati bayaran yuran serendah RM199 di bawah program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) bermula pada Isnin.

Permohonan itu terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 17 hingga 40 tahun yang belum pernah memiliki apa jua jenis lesen memandu dan tidak dikenakan saman trafik sebelum ini.

No comments:

Post a Comment