Tuesday 8 January 2013

PPRT RUNTUH AKIBAT PROJEK 'BY-PASS'?






HULUR...Kong bagi pihak ADR Batu Sapi menghulur sumbangan wang tunai kepada mangsa Nispah sambil disaksikan KK Mandu (berkopiyah).

Oleh : SAIMON S JUMADI            Foto :SAFFIE S JUMADI

AHLI Parlimen Batu Sapi menegaskan sepatutnya pihak FLECRA sentiasa memantau atau memberikan garis panduan dan nasihat kepada kontraktor yang dilantik membina rumah di PPRT/PBR yang di atas air agar menggunakan bahan-bahan binaan yang berkualiti.

Rumah-rumah PPRT/PBR yang dibina di atas air khususnya di Kampung Lupak Meluas Laut, 70 peratus daripadanya senget (mereng); anehnya kebanyakan rumah tersebut sudah siap setahun lalu tetapi belum berpenghuni kerana pemohon bimbang keselamatan mereka.

Sepatutnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan kerjasama FELCRA bertanggungjawab memantau setiap sudut untuk mempastikan keadaan rumah tersebut selamat  dan segera memanggil kontraktor terbabit jika terdapat sebarang masalah, termasuk pembaikan.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Kong Nyuk Tau berkata demikian kepada Sabahkini.Net selepas meninjau lokasi kejadian bagi mewakili Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin yang berada di luar daerah.

Kata Kong, selain bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS), mangsa terbabit juga menerima sumbangan daripada Pejabat Parlimen Batu Sapi.

Kong juga kesal dengan kejadian berkenaan meminta KKLW, MPS dan FELCA menjalankan siasatan rapi; terutama punca rumah roboh selain menuding jari kepada pencuri tiang yang kononnya menyebabkan rumah PPRT runtuh dan pelbagai asalan yang tidak munasabah.

"Kami khuatir jika semua rumah yang dibina tidak selamat untuk diduduki, maka perancangan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tidak akan berjaya dan menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan," kata Kong yang bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku.




KESAL...Kong kesal kontraktor yang mahu cari untung besar tapi tidak memikirkan tentang keselamatan nyawa orang lain.




BIDAS....Hj Ali membidas FELCRA dan KKLW kerana melantik kontraktor yang tidak bertauliah.

Sementara itu, Pengerusi Pengerusi Perlindungan Pengguna Sabah Bahagian  Sandakan (CAPS),  Haji Ali Ahmad  membidas sekeras-kerasnya tindakan FELCRA yang melantik kontraktor yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan projek pembinaan rumah PPRT/PBR di atas air kerana bukan sahaja merugikan beratus juta ringgit dana awam akibat kerja-kerja yang tidak bermutu; malah membuka pintu seluasnya kepada pembangkang untuk melemparkan kenyataan tidak berasas kepada Kerajaan BN.

"Pembangkang akan menjadikan isu ini sebagai propaganda paling ampuh untuk membangkitkan kemarahan rakyat keran sudah pasti berjaya meracuni fikiran mereka akibat ketidak prihatinan menteri, jabatan dan agensi yang tidak mempunyai kredibiliti ini," kata Haji Ali yang mendesak satu posmortem dilakukan di pelbagai peringkat.

Tegas Haji Ali, Menteri KKLW sewajarnya bertanggung jawab penuh mengenai insiden yang memalukan ini dan segera bertindak jika tidak ingin melihat BN kecundang pada pilihanraya akan datang kerana kempen melampau pembangkang.

Dalam hal ini tegas Hj Ali, rakyat tidak boleh menuding jari kepada kerajaan atau menyalahkan bulat-bulat kepada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin atau Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) kawasan Sekong, Datuk Hj Samsudin Yahya kerana projek tersebut bukan di bawah seliaan ADR  Batu Sapi ataupun ADUN Sekong.

"Inilah masalahnya kalau pentadbiran KKLW tidak telus dan projek sakit atau 'By-Pass' ini telah mencemarkan nama baik semua pihak. Setelah bermasalah, barulah semua pihak mahu dilibatkan dan tuding menuding jari antara satu sama lain," kata Haji Ali  lagi.

Selaku Pengerusi Pertubuhan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) Sandakan yang mewakili lebih 10 ribu pengguna, Haji Ali merayu dan mendesak  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman agar peka  dan berani menegur Menteri KKLW yang disifatkan pembangkang sebagai 'Pengkhianat kepada rakyat dan parti'.

"Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah harus mempunyai kekuatan politik untuk menyekat dan menghentikan petualangan Menteri KKLW dan FELCRA agar rakyat tidak mengalihkan sokongan kepada pembangkang pada PRU-13 yang amat getir ini," kata Haji Ali. 

No comments:

Post a Comment