Saturday 19 January 2013

PRU-13 PILIHAN DI TANGAN ANDA







Oleh : LO_PHUNK

PILIHANRAYA Ke-13 semakin dekat. Ianya bakal menjadikan pertembungan yang sangat hebat antara parti pemerintah dengan parti pembangkang di Sabah. Seluruh rakyat Sabah tertanya-tanya apakah parti yang bakal dipilih? Rata-rata masih berada dalam dilema untuk mengundi siapa; sama ada parti pembangkang atau parti pemerintah?

Parti pembangkang pula dilihat terbelah dua iaitu parti pakatan rakyat dan STAR yang tidak sebulu dengan Pakatan Rakyat. Sementara SAPP dilihat menuju ke arah Parti Perikatan Pakatan Rakyat dan membiarkan STAR dengan agenda tersendirinya.

Namun mampukah STAR membentuk kerajaan di Sabah selepas PRU 13 ini atau Pakatan akan bakal menerajui Putrajaya dan kerajaan di Sabah?

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dahulunya mewujudkan gelombang yang sangat hebat, menumbangkan gergasi dan menghidupkan demokrasi telah kini semakin tenggelam dan tidak mampu menjaga kebajikan penyokongnya; serta tidak mampu melaksanakan dasar perjuangan asal mereka.

STAR dengan Agenda Borneonya sangat yakin bahawa perjuangan mereka akan diterima oleh rakyat Sabah. Mereka juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mengembalikan autonomi rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 dan Perkara 20 setelah kerana Anwar tidak menandatangani Deklarasi Tambunan.

Namun hakikatnya, Pakatan Rakyat telah menandatangani Deklarasi Kuching yang lebih kurang sama kandungannya dengan Deklarasi Tambunan yang dikatakan tidak ditandatangani oleh Anwar Ibrahim.

Kandungan Deklarasi Kuching Oleh Pakatan Rakyat

PERKARA 1:  Kerjasama Bersekutu

Memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

PERKARA 2: Perwakilan Yang Adil

Mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

PERKARA 3: Kewarganegaraan

Menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT

Menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

PERKARA 5:  Kecekapan Dan Kemandirian Sarawak Dan Sabah

Mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

PERKARA 6: Keadilan Dalam Isu Minyak

Menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke  20%.

PERKARA 7: Pembangunan Sekata

Membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Pakatan Rakyat menjelaskan deklarasi ini merupakan satu perjanjian yang tidak boleh disangkal serta dipersoalkan, ia termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani pada 16 September itu juga bermatlamat agar kebebasan dapat dicapai dan masyarakat boleh hidup bersatu pada dalam suasana aman dan damai.

7 Agenda Borneo Oleh Star

AGENDA 1: Menuntut supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan 'Mekanisme Pelaksana' untuk menyusuli pematuhan Perjanjian Malaysia 1963 serta memulihkan status Sabah Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dengan Malaya.

AGENDA 2 : Menuntut supaya satu formula untuk agehan yang adil dalam aspek hasil cukai, minyak dan perjawatan.

AGENDA 3 : Menuntut supaya hak-hak pribumi Sabah Sarawak dihormati dan kekal seperti yang termaktub dalam perjanjian dan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

AGENDA 4: Menuntut supaya Dasar Kabotaj (Dasar Perkapalan) dimansuhkan. Dasar ini menyebabkan impak negatif terhadap ekonomi Sabah sejak 1/1/1980.

AGENDA 5 : Menuntut supaya fokus pembangunan ditumpukan kepada Sabah dan Sarawak di samping mengurangkan jurang ekonomi dan digital antara dua wilayah.

AGENDA 6 : Menuntut supaya masalah PTI/Projek IC diselesaikan secara tuntas dan integriti sempadan Sabah Sarawak diperketatkan, termasuklah hukuman yang berat ke atas mereka yang memberikan status kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

AGENDA 7 : Menuntut supaya kajian semula terhadap kehadiran dan peranan agensi-agensi Persekutuan di Sabah/Sarawak bahkan syarikat-syarikat dari Semenanjung yang mendapat konsesi tanah di Sabah.

DEKLARASI TAMBUNAN

1. Melaksanakan 20 Perkara yang masih relevan dan Perjanjian Malaysia.
2. Melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Malaysia Timur (Sabah/Sarawak).
3. Menaikkan royalti minyak daripada 5% sekarang kepada sekurang-kurangnya 20%.
4. Menambah: (a) peranan Sabah dalam Kabinet Persekutuan, (b) kerusi Parlimen di Sabah dan (c) peranan Sabah di Kedutaan Malaysia mengikut formula keseimbangan yang patut.
5. Mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk memastikan hak-hak kedaulatan dan Rukun Negara terjamin dan terpelihara termasuk penyiasatan masalah Projek IC dan PTI.
6. Menghormati semua kaum dan budaya mereka.
7. Membenarkan Sabah menggariskan Agenda Pembangunan dan Ekonomi sendiri selaras dengan agenda nasional.

Perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS)

1. Memperjuangkan demokrasi dan mempunyai wawasan untuk membina negeri Sabah yang maju, harmoni dan bersatu melalui proses demokrasi berparlimen yang tulen.

2.   Berusaha menjaga hak-hak dan kuasa autonomi Sabah, hak asasi manusia dan menegakkan keadilan.

3. Memperjuangkan hak-hak istimewa kaum Bumiputera dan kepentingan kaum lain, memelihara budaya tradisional setiap kaum di Sabah serta kebebasan beragama di Malaysia.

Antara isu yang paling lantang disuarakan parti itu adalah isu pendatang tanpa izin di Sabah, Projek IC, pembangunan tidak seimbang, pengundi hantu dan 20 Perkara perjanjian kemasukan Sabah ke dalam Malaysia.

Apa yang kita lihat di sini, semua parti memperjuangkan autonomi rakyat sabah tapi jika dikira perjuangan PBS yang sudah menjangkau 27 tahun langsung tidak dapat memenuhi teras perjuangan mereka apatah lagi mengembalikan autonomi Negeri Sabah yang sama taraf dengan persekutuan tanah melayu dan Sarawak.

STAR pula mempunyai persamaan dengan agenda pakatan di Sabah dan Sarawak namun STAR memilih untuk bersendirian dan tidak mahu Pakatan bertanding di Sabah.

STAR juga dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada Pakatan atau Barisan Nasional kerana mereka beranggapan bahawa merekalah yang menjadi penentu kerajaan jika keputusan adalah seri atau memerlukan kerusi STAR untuk menang dan menerajui kerajaan.

Nampaknya mereka akan melompat ke mana-mana yang mereka suka dan sekiranya mereka bekerjasama dengan BN, maka keadaan seperti sekarang tetap akan berlaku.

Apa yang kita harapkan sebagai rakyat sabah adalah perubahan harus dilakukan. Pakatan sudah menunjukkan komitemen untuk mengembalikan autonomi rakyat Sabah jadi sama-samalah kita menilai sendiri agar kita dapat memilih parti yang sesuai untuk membela nasib rakyat Sabah 5 tahun akan datang.

Tiada apa yang dijanjikan oleh Barisan Nasional untuk mengembalikan autonomi Sabah. Mereka hanya meminta rakyat untuk memberi mereka peluang untuk memerintah semua selepas PRU 13.

Persoalannya, sampai bilakah rakyat Sabah akan memberi peluang kepada kerajaan BN sedangkan kerajaan BN tidak menjaga kebajikan dan autonomi serta menghormati Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963?

Kalau Tidak Ngam Aturan... TUKAR KERAJAAN LAH!.

No comments:

Post a Comment