Sunday 6 January 2013

PRU KE-13 BUKAN BAHAN UJI KAJI






SANDAKAN : Ketua Menteri Datuk Musa Aman hari ini mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai bahan uji kaji untuk menukar kerajaan.

Musa (gambar) berkata rakyat harus bijak membuat keputusan agar terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan bersama seterusnya dapat memastikan kesinambungan perancangan untuk pembangunan negara.

“Kerajaan tahu apa yang terbaik dilaksanakan untuk rakyat, oleh itu rakyat perlu yakin bahawa kerajaan sentiasa membuat perancangan rapi demi masa depan negara yang juga berpihak kepada rakyat,” katanya ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Gum-Gum dekat sini kelmarin.

Musa yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata rakyat yakin dengan pentadbiran kerajaan BN yang mampu melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka panjang.

“Saya gembira melihat semangat rakyat negeri ini yang setia memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk terus teguh memerintah negara ini,” katanya.

Menurutnya jika rakyat terus bersatu mengekalkan perpaduan, bersatu dan tetap setia kepada kerajaan walaupun dicemari dengan fitnah parti pembangkang, sudah tentu keamanan negara akan terus wujud serta bebas daripada kucar-kacir.

Pada majlis tersebut, Musa turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri Gum-Gum serta sumbangan kepada beberapa pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). (Bernama)

No comments:

Post a Comment