Sunday 13 January 2013

RCI MULA PANGGIL SAKSI





WATIKAH.....Ewon (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JKKK yang baharu, Rose Modi (dua dari kanan).

RANAU: Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan mula memanggil saksi untuk memberikan keterangan mengenai keraguan pertambahan jumlah penduduk negeri Sabah yang mendadak serta isu pendatang tanpa izin (PTI) dan kad pengenalan palsu bermula 14 Januari 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ewon Ebin berkata ramai saksi yang dianggap ada kaitan dengan isu itu, akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi merungkai isu berkenaan yang menjadi masalah besar sejak sekian lama.

Katanya, rakyat tidak perlu ragu dengan kemampuan badan bebas ini (RCI) untuk menyelidik perkara berkenaan kerana ahli-ahli panelnya tidak ada kaitan dengan politik dan mereka semua boleh dipercayai.

Menurut Ewon, mereka yang didapati bersalah hasil daripada siasatan itu nanti akan dirujuk ke mahkamah dan kad pengenalan atau sebarang dokumen yang didapati diproses dari pintu belakang akan dibatalkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi sesi 2012/2014 di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Nalapak kira-kira 22 kilometer dari pekan.

Katanya, rakyat Sabah patut bersyukur kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak kerana begitu prihatin dengan aspirasi rakyat negeri ini sehingga meluluskan penubuhan RCI pada 1 Jun tahun lalu yang mana ianya dituntut sejak berpuluh tahun sebelumnya.

“Kita bukan anti orang asing masuk ke negeri ini malah menggalakkan mereka yang mempunyai kepakaran pekerjaan, namun kita harus menolak mereka yang masuk tanpa dokumen lengkap dan lebih-lebih lagi kepada mereka yang memiliki dokumen melalui proses pintu belakang,” katanya.

Sementara itu, Ewon turut menasihati rakyat supaya tidak tertipu dengan pihak pembangkang yang terlalu banyak menjanjikan sesuatu yang mereka sendiri sedar tidak boleh melaksanakannya.

Sebagai contoh katanya, pada kempen pilihan raya 2008 Parti Keadilan Rakyat di Selangor berjanji akan memberi air percuma dan elaun kepada ibu tunggal di negeri itu, tetapi sesudah memerintah kini Selangor adalah negeri paling bermasalah dengan air bersih dan ibu tunggal juga diketepikan.

Beliau menambah, memang tidak ada kerajaan yang sempurna di dunia tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya telah memberikan yang terbaik kepada rakyatnya setakat ini.

“Kalaupun ada pemimpin dalam kerajaan yang kurang baik atau tidak disenangi maka bersuaralah untuk menukar pemimpin berkenaan dan bukannya untuk menukar keseluruhan kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi pembaikan paip air graviti yang telah usang di kampung itu.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Politik dan Sulit kementerian, Japirin Sahadi dan Dallius Ubin, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Jefrin Majangki serta pemimpin-pemimpin komponen BN dan pemimpin setempat. (UB)

No comments:

Post a Comment