Wednesday 23 January 2013

SIASAT BEKAS PENGARAH SPR SABAH






PIHAK berkuasa mesti segera menyiasat bekas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Wan Ahmad Wan Yusof kerana didakwa mengarahkan SPR negeri mengeluarkan nombor kad pengenalan kepada pendatang yang tidak layak pada tahun 1990-an.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian (kiri) berkata, peranan Wan Ahmad dalam skandal tersebut untuk mengubah demografi pengundi di Sabah, jika benar, hanya menjustifikasikan kesangsian rakyat terhadap SPR.

"Kesangsian rakyat terhadap SPR telah dijustifikasikan oleh pendedahan mengenai Projek IC," kata Baru Bian dalam satu kenyataan.

Oleh itu, tambahnya, tuntutan BERSIH kini perlu diberi perhatian segera dan SPR mesti melaksanakan langkah-langkah yang dituntut itu sebelum pilihan raya umum ke-13.

Beliau merujuk kepada pendedahan oleh bekas pengawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Mohd Nasir Sugip minggu lepas mengenai kewujudan skim 'Ops Durian Buruk', kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah.

Semasa siasatan tersebut, Mohd Nasir mendakwa beliau telah diminta oleh pengarah JPN negeri Ramli Kamarudin untuk melaksanakan skim tersebut selepas Wan Ahmad dikatakan menyerahkan senarai 16,000 nama untuk dijadikan pengundi "bumiputera Islam".

'Ribuan Masih Tunggu IC, Sijil Kelahiran'

Baru Bian berkata, lebih teruk lagi, sementara pendatang haram Islam diberi IC dan kewarganegaraan, ribuan mereka yang dilahir dan dibesarkan di Malaysia Timur, kekal tidak ada kerakyatan walaupun telah memohon untuk mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Menurutnya, terdapat banyak salinan borang permohonan di pejabatnya yang ditolak atau tidak diberi jawapan oleh pihak berkuasa.

Di samping itu, tambahnya, terdapat beberapa sesetengahnya telah diberikan IC sementara dengan tarikh luput padanya, "yang saya tidak dapat memahaminya. "

Baru Bian yang juga seorang peguam menyebut kes seorang rakyat Sarawak yang bekerja di Malaysia Barat yang tidak boleh pulang kerana IC sementaranya telah tamat tempoh dan seorang lagi rakan sekolah, yang tidak dapat melanjutkan pelajaran tanpa IC.

Beliau juga menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengheret Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dalam isu tersebut, dengan mendakwa Tunku memberi kerakyatan kepada sejuta orang yang tidak berkelayakan di Semenanjung Malaysia, sebagai "sesuatu yang keji". (MKINI)

No comments:

Post a Comment