Tuesday 8 January 2013

SPRM WAJAR SIASAT JALAN DUN SABAH





Oleh : JULFIKAR ABD MIJAN

PUSAT Aduan Rakyat PAS Sepanggar (PAR) pada hari ini mendesak agar Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sabah, Tuan Haji Jalil Haji Jaafar, menyegerakan siasatan terhadap isu kos pembinaan jalan ke Dewan Undangan Negeri(DUN) yang menelan belanja RM 14.9 juta dengan jarak 900 meter sahaja sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat Sabah. 

Sebelum ini, isu jalan ke DUN telah dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, di dalam Dewan Rakyat pada tarikh 1 Oktober 2012 dan disusuli dengan penghantaran memorandum oleh NGO Jingga 13 pada 17 Disember 2012 di pejabat SPRM Sabah.

Setakat ini, pihak SPRM belum memberikan sebarang respon berhubung isu ini walaupun telah tiga minggu menerima memorandum daripada Jingga 13. Malah, pihak kerajaan negeri juga masih terus membisu daripada membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini.

PAR mempersoalkan mengapa SPRM mengambil masa yang terlalu lama untuk memberikan maklum balas berhubung isu ini. Pada hemat PAR, kelewatan SPRM membuat siasatan melibatkan skandal wang rakyat ini menjejaskan kredibiliti SPRM dimata rakyat.

Selain itu, PAR juga mencabar Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Panglima Musa Aman supaya memberikan penjelaskan berhubung isu ini.

PAR telah membuat tinjauan di beberapa jalan raya di kawasan Sepanggar. PAR mendapati masih terdapat banyak jalan di kampung-kampung yang berada dalam kondisi yang teruk seperti jalan di Kampung Numbak yang terletak hanya bersebelahan dengan bangunan 1 Borneo.

Jalan ini digunakan setiap hari oleh penduduk kampung berbanding jalan ke DUN yang hanya digunakan beberapa kali sahaja. Justeru, PAR melahirkan kekesalan terhadap pihak kerajaan kerana seolah-olah wujud 'Double Standard' antara jalan raya yang digunakan rakyat dengan jalan raya  yang digunakan oleh menteri.

Masalah ketirisan dan korupsi  adalah barah yang menyiksa rakyat di negara kita dan sewajarnya  SPRM mengambil berat akan isu ini.

Justeru, PAR sekali lagi mendesak agar SPRM segera mengemukakan laporan siasatan sekiranya siasatan telah dijalankan dan sekiranya belum diadakan sebarang siasatan, PAR mendesak agar siasatan dilakukan segera terhadap Isu skandal Jalan DUN ini kerana melibatkan wang rakyat tanpa rakyat langsung mendapat manfaat daripadanya.

No comments:

Post a Comment