Sunday 13 January 2013

STANZA POLITIK MALAYSIA




Oleh: DATUK KALAKAU UNTOL

SEJURUS selepas selesainya PRU12 pada 8 Mac 2008, Politik negara terus bergema dan bergolak. Di antara perkembangan yang begitu signifikan adalah serangan dalaman UMNO yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir sendiri ke atas Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi, sehinggakan Perdana Menteri melepaskan jawatannya kepada timbalannya Dato Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, pilihanraya kecil berlaku di merata negeri yang kebanyakannya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Di antara pilihanraya kecil yang paling dramatis ialah pada ketika Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) secara rasminya kembali ke gelanggang arena apabila Presiden Keadilan melepaskan jawatannya sebagai MP Permatang Pauh; untuk memberi laluan kepada DSAI yang juga merupakan suaminya.

Ketika itulah juga UMNO/BN mengulangi skrip lamanya iaitu rekaan fitnah sodomi ke-2 untuk menjatuhkan DSAI. Syukur dan Puji Tuhan atas berkat kebenaran dan keadilan mahkamah mendapati DSAI tidak bersalah sama seperti kes sodomi pertama.

Lebih daripada itu, UMNO, melancar satu lagi babak video lucah di mana Tan Sri Rahim Tamby Chik diambil sebagai pengarah filem tersebut tetapi ternyata strategi kotor ini gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat. Semua lakaran dan lakonan politik UMNO memakan diri sendiri apabila rakyat Malaysia menolak UMNO dan menerima Pakatan Rakyat.

Kekuatan Pakatan Rakyat terus bertambah di wilayah Borneo. Pertambahan 2 kerusi MP di Sabah dan 1 DUN di Sarawak membuktikan perubahan drastik bakal menjelma bagi sokongan rakyat dari wilayah Borneo.

SODOMI

Kini, politik negara bergema dan bersemarak apabila SPR mengulangi strategi lamanya yang pernah dilakukan di Sabah semasa menjatuhkan PBS di tampuk kuasa pada 1994 dengan merekrut pengundi hantu.

Secara jelas tindakan SPR ini adalah menderhakai perlembagaan negara dengan memberikan kerakyatan kepada PTI sekaligus mendaftarkan mereka sebagai pengundi.

Perkara ini, telah menjadi bahan politik di seluruh negara sehingga mengundang demonstrasi aman yang terbesar dalam sejarah yang dikenali sebagai perhimpunan BERSIH. Begitulah suasana politik negara muktahir kini dan pendemokrasian ini tidak bernoktah serta akan menjadi lebih subur dan terus hidup.

Bila Pilihanraya Ke-13? Bila Dewan Bubar?

Persoalan ini tidak lagi penting dan tidak dihiraukan sangat oleh sesiapapun kerana rakyat sudah cukup bersedia dan muak dengan sikap pengecut Najib Tun Razak. Bagaimanapun usaha Najib yang sedaya upaya untuk melakar modul politik baru dengan pelbagai penjenamaan harus dipuji sehingga tidak sempat pun dihadam oleh semua bahagian UMNO.

Slogannya, transformasinya, NKRAnya, dan berbagai lagi taktik tetapi semuanya kecundang dengan kuasa rakyat. Malah, nasib Najib bertambah parah apabila dipukul oleh deretan skandalnya sendiri termasuk pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu dengan bahan peletup C4, skandal rasuah scorpene, dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan juga skandal cincin isterinya Rosmah yang bernilai 24 juta. Sikap isteri Najib yang kononnya berbelanja mewah dan boros itu sekaligus melambangkan kepincangan dalam menangani ekonomi rakyatnya apabila negara dilanda krisis dan rakyat merasai bebanan dan tanggungan hidup yang tinggi, isteri Najib kelihatan berbelanja sakan di luar negara termasuk di Australia baru-baru ini.

Belum pun reda kisah sedih Najib ini, isu LEMBU KONDO pula muncul dan ianya ternyata membawa kehancuran kepada cara pemerintahan Najib yang rasuah.

Sebagai bukti dan fakta tatapan pembaca, baru-baru ini Najib telah dianugerahkan dan digelar sebagai negara yang paling RASUAH oleh satu badan dunia yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Ia seakan akan badi malang yang menghantui Najib sehinggakan para peniaga roti di warung-warung menggelar roti kosong sebagai roti NAJIB kerana tiada telur. Hal ini ditafsirkan sedemikian rupa kerana Najip telah meninggalkan dewan Parlimen apabila dicabar oleh DSAI untuk berdebat.

Sementara semua pihak ghairah terjun dalam politik perubahan ada juga yang diselubungi kegetiran akan kehilangan kedudukan dan keistimewaan.

Begitulah suasana perasaan di kalangan masyarakat ketika ini. Namun, mahu tidak mahu Dewan pasti akan bubar dan rakyat akan melakukan pemilihan sama ada Pakatan Rakyat atau UMNO/BN di PRU-13 nanti.

Niat DS Najib untuk memberi kejutan mengenai tarikh PRU-13 akhirnya tidak kesampaian apabila semua tarikh yang ditiliknya memperlihatkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan terpaksa membawa perkara ini ke arah masa tambahan yang diperbolehkan oleh peraturan sedia ada.

Semboyan politik yang dilakar Najib hanya berjaya melembutkan Harimau Tua UMNO/BN iaitu Tun Dr. Mahathir untuk memaksanya mengadakan pilihanraya pada tahun ini. Kroni Najib terus puas hati melepasi tekanan Tun Dr. Mahathir dan beliau kini merasa bahang kegetiran kerana suara dan strategi tidak mudah mengena lagi.

Barah dalam UMNO/BN semakin parah apabila Tun Dr. Mahathir mengakui secara terang-terangan membuat kenyataan media mengatakan bahawa Pendatang Tanpa Izin di Sabah wajar diberikan kerakyatan hanya kerana PTI tersebut pandai berbahasa ‘melayu’.

Ini adalah satu penghinaan yang tragis kepada kedaulatan Sabah. Sesungguhnya rakyat Sabah sangat terguris dengan kenyataannya itu. Ia juga salah satu cara UMNO/BN untuk menakluki Sabah dan berkuasa tanpa memikirkan nasip rakyat asal.

Tun Dr. Mahathir juga dengan sombong mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan nilai agama rakyat Malaysia. Kenyataannya iaitu ‘lebih baik menyokong SYAITAN yang dikenali daripada menyokong MALAIKAT yang tidak dikenali’.

Beliau secara tidak langsung menggelarkan UMNO/BN sebagai syaitan dan Pakatan Rakyat sebagai malaikat dan bila diamati secara mendalam, kenyataannya ini memang benar sekali!

Calon-Calon Yang Bertanding

Kedua-dua pihak UMNO/BN dan Pakatan Rakyat telah melahirkan nada yang sama mengenai kriteria calon iaitu calon yang boleh membawa kemenangan.

Faktor calon ini kadangkala menyulitkan apabila di peringkat akhir pemilihan. Dulu, perkara ini amat mudah kepada UMNO/BN semasa ia kuat tetapi sekarang perkara ini adalah malapetaka kepada UMNO/BN.

Najib tidak akan mudah menyerahkan atau memberikan laluan kepada sekutunya MIC dan MCA di kawasan majoriti pengundinya melayu. Fenomena ini disebabkan oleh pengundi Cina dan India kini sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kerumitan dan kerunsingan sedang melanda kepada pemimpin UMNO/BN di Semenanjung.

Manakala, di pihak Pakatan Rakyat pula, keadaan begitu mudah dan serasi dengan perundingan hampir selesai sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kriteria pemilihan calon kali ini juga penting dalam menentukan halatuju kemenangan sesuatu parti.

Peristiwa pemilihan calon secara tergopoh gapah pada pilihanraya 2008 sudah tentu menyebabkan Pakatan Rakyat akan lebih berhati-hati kali ini.

Bukan itu sahaja, rakyat juga runsing jikalau pilihan mereka beralih arah lagi seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak lama selepas pilihanraya. Mereka tidak mahu lagi calon yang mereka pilih akan beralih kepada UMNO/BN.

Terdapat banyak faktor yang harus diambilkira dan sesungguhnya bukan mudah. Teka-teki persoalan ini hanya boleh dijawap pada hari pengumuman calon. Biasanya individu yang tidak tercalon akan kecewa dan berakhir dalam 2 atau 3 hari selepas itu.

Tidak kurang juga yang sabotaj dan ada juga yang bertanding atas tiket bebas kerana tidak dapat menerima keputusan Majlis Tertinggi parti. Ia adalah lumrah dalam setiap PRU.

Senario Politik Di Sabah Dan Sarawak

Rakyat Sabah dan Sarawak telah menyandarkan harapan mereka kepada rekod kecemerlangan pilihanraya UMNO/BN seperti mana yang telah dicanai oleh pucuk pimpinan negara sejak sekian lama dan sindrom kesetiaan yang membuta itu telah mengukir satu keputusan cemerlang pada PRU-12 di mana hampir kesemua kerusi disapu bersih oleh UMNO/BN di Wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak).

Namun, dalam PRU-13 nanti, perkara ini tidak akan berlaku. Stigma fix-deposit pasti meleset. Dalam pilihanraya DUN Sarawak, keputusannya jelas bahawa hampir semua kawasan Cina dan satu kawasan Lumbawang telah melayang. Perkara yang sama pasti terjadi dalam pilihanraya Parlimen dan dipercayai jauh lebih banyak lagi yang akan menyokong Pakatan Rakyat.

Di Sabah, sudah 2 Ahli Parlimen dan seorang Senator telah mengistiharkan keluar daripada UMNO/BN dan kini sedang bergiat aktif dalam Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Panglima Wilfred M Bumburing, Mantan Timbalan Presiden UPKO dan masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin, Mantan Timbalan Menteri, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Pusat dan masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Beaufort, dan Senator Datuk Maijol Mahap, mantan Naib Presiden UPKO.

Tindakan mereka memang tidak diduga tetapi DSP Wilfred M Bumburing memang begitu lantang menegur kerajaan di Parlimen berhubung dengan kebanjiran PTI di Sabah sejak dulu lagi.

Senario politik Sabah dalam setiap kejatuhan kerajaan berpunca daripada tindakan pimpinan kerajaan meninggalkan parti pemerintah apabila parti pemerintah semakin sombong dan melupakan tanggungjawap kepada rakyatnya.

Di mana-mana sahaja di Sabah sekarang laungan ‘INI KALI LAH’ dan disusuli dengan teriakan ‘TUKAR’ jelas sekali menggambarkan betapa rakyat Sabah dahagakan perubahan.

Slogan ini begitu popular dan sudahpun sampai ke Semenanjung Malaysia. Tsunami keramat ini jauh sekali menenggelamkan pekikan sumbang ’1Malaysia’ idea basi transformasi Najib.

Masyarakat umum percaya bahawa semua kawasan Cina akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat walaupun SPR cuba membuat penambahan pengundi yang diragui.

Manakala di kawasan Muslim seperti Beaufort, Kimanis, Papar, dan Kudat akan dikuasai Pakatan Rakyat. Di kawasan KDM yang pasti dirampas ialah Penampang, Tuaran, Kota Marudu, Pensiangan, Ranau dan Keningau.

Pernyataan ini dibuat berdasarkan culaan dan sentimen perubahan pengundi KDM yang bermula sejak pilihanraya 2008 lagi. Keadaan ini terjadi bukan kerana pemimpin dari Sabah ini tidak baik, tetapi mereka ditinggalkan pengundi kerana rakyat secara amnya mahukan perubahan kepada dasar dan polisi negara yang didominasi oleh politik tidak sihat UMNO/BN. Fenomena ini sudah sampai ke tahap leburnya dan tidak boleh dihentikan lagi, bak kata orang putih, ‘UNSTOPPABLE’.

Perhitungan rakyat Sabah ialah, jikalau UMNO/BN dilanjutkan lagi berkuasa selama 5 tahun, rakyat Sabah yakin bahawa kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) akan terus bertambah dan diberikan kerakyatan. Implikasi penderhakaan ini akan mengakibatkan PTI yang mempunyai kerakyatan songsang melebihi rakyat asal dan seterusnya mengambil hak rakyat selama-lamanya.

Selagi kerajaan pusat pimpinan UMNO/BN tidak tumbang, selagi itulah penderhakaan kepada Perlembagaan Negara tidak dapat dihentikan. Justeru itu, rakyat Sabah sudah nekad dan bergerak dalam diam seterusnya membentuk sebuah kerajaan pusat yang baru yang dinamakan ‘Pakatan Rakyat’.

Kempen Yang Terhebat

Semasa penamaan calon, sudah tentunya meriah dan hangat di Semenanjung. Semuanya panas dan agresif. Tidak kurang juga yang mengganas apabila peralihan kuasa rakyat berlaku. Apapun di Sabah memang mesra dan penulis tidak fikir perarakan calon-calon di Sabah berlaku keganasan.

Penulis percaya bahawa keesokan hari selepas sahaja penamaan calon suasana akan bertambah hebat dengan pembongkaran sama ada isu umum atau peribadi merujuk kepada calon-calon yang bertanding.

Pada masa itu slogan ‘TUKAR’ dan ‘INI KALI LAH’ akan terpampang di billboard yang besar dan di tempat-tempat yang strategik. Bukan itu sahaja, teriakan dan laungan perkataan keramat ini akan menamatkan pemerintahan UMNO/BN di Malaysia.

Tidak hairanlah pada ketika itu haiwan peliharaan seperti kambing, kerbau dan anjing akan digunakan sebagai bahan kempen membawa bendera ataupun dicat dengan warna bendera masing-masing. Sudah pastinya kempen terhebat kali ini bergerak 24 jam dan tidak mengira masa.

Kempen akan dijalankan di mana mana sahaja termasuklah di majlis keramaian seperti tunang, kahwin, harijadi, di gereja, di masjid, malah di tempat orang meninggal pun kempen tetap berjalan. Kadang-kadang ada juga pekempen-pekempen yang fanatik dan berlagak dengan nada yang tinggi cuba menguasai keadaan.

Biasanya pekempen ini hanya dibiarkan sahaja oleh pengundi kerana garangnya itu cuma 2 hingga 3 minggu dan keadaan akan pulih seperti biasa. Penulis meramalkan tempoh kempen mungkin menjangkau 13 hari ataupun 312 jam.

Semasa Mengundi

Tempoh yang paling kritikal ialah pada masa tamat tempoh kempen. Semua pihak beralih kepada satu tahap teknikel yang melibatkan ‘polling agent’, ‘counting agent’ dan ‘barong agent’.

Di situlah nanti orang harapan dan pilihan parti masing-masing akan bertugas. Mereka ini adalah ejen-ejen yang terlatih dan harus dipantau ketat oleh Pakatan Rakyat agar tidak dibeli oleh pihak lawan. Jikalau perkara ini berlaku, maka penipuan dalam kiraan undi dengan mudah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawap.

Apapun diharap kedua-dua belah pihak akan mengamalkan satu pengiraan yang telus dan berakauntabiliti. Para petugas SPR juga diharapkan bertugas secara berkhemah dan berhati-hati tanpa ada niat menipu kerana jikalau itu berlaku dan ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah sudah tentu nama pegawai tersebut akan diambil dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Jalan selamat ialah petugas SPR harus menjalankan tanggungjawap secara profesional untuk mengelakkan sebarang perkara yang buruk.

Penulis menjangkakan kehadiran pengundi hantu yang akan digunakan oleh pihak UMNO/BN untuk menentukan kemenangan mereka. Jikalau keadaan ini berlaku, kekacauan mungkin akan timbul bilamana orang-orang kampung dan penduduk tempatan pada kali ini akan bertindak menghalang pengundi hantu ini. Sesungguhnya kehadiran pengundi hantu tidak boleh dibiarkan sama sekali.

PRU-13 adalah PRU yang paling penting dan kritikal. Ia akan menjadi satu titik perubahan cara pentadbiran negara dijalankan. Jikalau mereka dibiarkan menentukan kuasa politik tanahair maka masa depan generasi kita akan datang akan gelap dan akan diperintah selama-lamanya oleh pengundi hantu ataupun PTI ini.

Diketahui kini bahawa semua kampung dan JDM sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kehadiran pengundi hantu demi mempertahan kan kedaulatan Sabah.

Pengundi tempatan yang sah pula tentu merasa bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawap besar dalam penubuhan sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi.

Selepas itu, proses pengiraan undi adalah yang terpenting sekali di mana ‘counting agent’ bertugas. Wakil ini haruslah individu yang boleh dipercayai dan pakar dalam mengira. Sikap berhati-hati, tegas dan berani harus ada.

Pengumuman Keputusan PRU-13

Detik cemas ini amat ditunggu-tunggu dan akan diperhatikan oleh masyarakat di seluruh dunia. Persoalan mereka ialah siapa pemerintah negara Malaysia yang baru? Sama ada Pakatan Rakyat ataupun masih UMNO/BN.

Semasa menunggu keputusan detik akhir inilah yang sangat mendebarkan dan mampu menggoncang adrenalin peminat politik, tidak hairanlah jika ada yang lemah jantung dan mungkin ada yang pengsan kerana tidak dapat menerima kekalahan. Tahniah! Kepada yang menang dan kepada yang kalah, cuba lagi di PRU-14.

Tetapi, sekiranya pemilihan tidak telus dan berat sebelah, sudah tentu akan mengundang masalah dan rakyat pastinya tidak berpuashati. SPR dari awal-awal lagi tidak menjalankan kerja dengan baik, kesilapan demi kesilapan dalam daftar pemilih yang semacam disengajakan tentunya mengundang persepsi negatif kepada kredibiliti SPR.

Sebenarnya kalau diamati secara mendalam, SPR sudah tercemar dengan Pengerusi dan Timbalannya adalah ahli parti UMNO. Di pihak Pakatan Rakyat, mereka begitu mengambil berat dan serius perihal ini. Ini secara jelas bertentangan dengan konsep demokrasi.

Secara lazimnya, pada peringkat ini, semua pemimpin tertinggi berkumpul di rumah Presiden masing-masing dan di peringkat negeri pula, mereka akan berkumpul di rumah Ketua Menteri atau rumah Menteri Besar.

Setiap kemenangan pastinya akan disusuli dengan teriakan riang gembira dan sebaliknya kepada yang kalah, biasanya diiringi dengan tangisan. Begitulah lumrah dan adat pertandingan. Suasana ini akan berlaku di kedua-dua belah pihak sama ada Pakatan mahupun BN. Pada akhirnya, apabila sudah hampir kepada bilangan majoriti mudah ataupun ‘Simple Majority’, di situlah semua merasa gelisah.

Kepada calon MP atau DUN yang menang, mereka akan dipanggil dan berkumpul tetapi kepada yang kalah biasanya dikemudiankan. Ketua kepada pemenang akan menghubungi Peguam Negara, dan Istana untuk tujuan upacara pembentukan kerajaan.

Dalam jangkamasa ini sudah tentu persaingan di antara ketua akan timbul dan di sini jugalah keikhlasan dan kejujuran sebenar biasanya dilihat. Ada yang susah dihubungi dan mungkin tidak kurang juga yang akan beralih arah, kita tunggu dan lihat.

Berakhirnya Legasi Ketuanan Melayu UMNO

Penulis menjangkakan bahawa pertukaran kerajaan pasti berlaku.

UMNO kalah

Selepas sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih Putrajaya, serentak dengan itu berakhir jugalah legasi Ketuanan Melayu UMNO yang telah tertanam sejak sekian lama.

Peningkatan tahap pemikiran melalui kerajaan baru nanti akan merancakkan pembangunan negara dari segi material mahupun ideologi, apalagi kita akan berhadapan dengan pesaing negara maju global kini.

Sebenarnya fenomena ini bukanlah perkara yang baru bagi sesebuah negara maju, ianya sudah berlaku beberapa fasa ke hadapan dan kita di Malaysia juga sedang mempersiapkan diri untuk melaluinya. Rakyat Malaysia akan melangkah dan maju setapak lagi dalam fasa baru demokrasi yang sebenarnya.

Rakyat dan generasi baru akan merasai cara demokrasi sebenar diaplikasikan dan sudah tentu ianya akan mempengaruhi cara pemikiran yang lebih terbuka dan keluar daripada hambatan sindrom ‘setia membuta’ yang dipopularkan oleh UMNO/BN sejak merdeka lagi.

Dan mungkin ada benarnya kata-kata seorang penulis dan aktivis antarabangsa yang terkenal, Hishamudin Rais bahawa UMNO adalah parti yang diasaskan oleh British dan sebutannya berbunyi ‘United Malay National Organisation’.

Apapun terjadi, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan dan sudah tentu setiap daripada kita ini mengharapkan yang terbaik sebagai bekalan kepada generasi yang akan datang.

{NOTA : Artikel ini ditulis oleh Datuk Kalakau Untol. Beliau merupakan seorang ahli politik berpengalaman yang pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Buruh Persekutuan, Ahli Parlimen P.170 Tuaran dan juga Senator Dewan Rakyat. Ketika ini, beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat dan Setiausaha Penganjur bagi Angkatan Perubahan Sabah (APS)}

No comments:

Post a Comment