KOTA BELUD : Timbalan
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak
menyangkal dakwaan pembangkang akan berlaku tsunami politik atau kebangkitan
rakyat di Sabah, menegaskan Barisan Nasional (BN) berada di landasan betul
untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
Menyifatkan dakwaan itu
sebagai khayalan dan tokok tambah, beliau berkata ia bertujuan menunjukkan
kekuatan politik pembangkang dan mempengaruhi sokongan di negeri ini yang
merupakan kubu kuat BN.
"Yang pastinya, BN
mungkin menghadapi cabaran hebat, terutama sekali di kawasan bandar dan sub
bandar tetapi majoriti rakyat di Sabah masih lagi menyokong BN untuk mentadbir
negeri ini dan negara.
"Sudah tentu tidak akan
terjadi tsunami politik atau kebangkitan rakyat di Sabah. Ia semata-mata
propaganda politik untuk mewujudkan kesangsian atau kekeliruan di kalangan
pengundi. Hakikatnya BN masih utuh dan padu," katanya kepada pemberita
selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin akar umbi setempat di
sini Selasa.
Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata di Sabah baru-baru ini bahawa akan
berlaku 'Kebangkitan Rakyat Sabah' dalam pilihan raya umum yang datang.
Salleh, yang juga Speaker
Dewan Undangan Negeri Sabah, yakin BN akan memperoleh kemenangan dalam pilihan
raya umum yang akan datang ini.
Beliau mengingatkan rakyat
supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pembangkang dan sebaliknya
terus menyokong pelbagai program transformasi yang diusahakan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak demi masa depan yang lebih baik.
"Saya percaya apa yang
terjadi di Semenanjung dalam pilihan raya umum 2008 tidak akan berlaku di
Sabah. Yang nyata, landskap politik seluruh negara telah jauh berubah dalam
masa empat tahun yang lepas di bawah pimpinan Najib.
"Yang jelas, Najib
telah merubah kedudukan BN selaku parti pemerintah ke arah lebih baik. Najib,
yang telah menerapkan pendekatan mesra rakyat dalam menangani pelbagai masalah,
amat disukai rakyat. Beliau bersedia mendengar kesusahan dan rungutan rakyat
serta sanggup turun padang untuk melihat keadaan yang sebenar," katanya.
Salleh berkata ini pastinya
satu kelebihan bagi BN dalam memperjuangkan kebajikan rakyat. (Bernama)
No comments:
Post a Comment