Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR, 12 Jan –
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Umno adalah sebuah parti yang
terbuka kepada kritikan pada majlis penghargaan media massa malam ini, beberapa
jam selepas Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran pembangkang dan NGO berakhir.
Dalam ucapannya di Pusat
Dagangan Dunia Putra, Najib (gambar) menegaskan Umno sentiasa mengalukan-alukan
sebarang teguran yang ditujukan kepada parti komponen utama Barisan Nasional
(BN) itu kerana ia adalah demi kebaikan rakyat.
“Umno dan kerajaan tidak
pernah menolak apa sahaja media kritik dan tegur.
“Kami juga menerimanya
secara terbuka dan positif,” kata presiden Umno tersebut.
Namun, Najib menegaskan
sebarang kritikan dan teguran tersebut mestilah berasaskan fakta yang sebenar
dan bertujuan untuk mencari kebaikan tetapi bukan sebaliknya.
“Ia mestilah berasaskan
fakta dan untuk kebaikan. Janganlah sebarang kritikan itu adalah cerita yang
palsu dan menfitnah, memandangkan sekarang sudah nak dekat pilihan raya saban
hari kita mendengar cerita karut-marut yang dibangkitkan bertujuan merosakkan
imej dan pandangan kepada kerajaan,” tambah beliau.
Dalam pada itu juga, Najib
berkata peranan media perlu dipandang berat kerana mereka adalah penyambung
hubungan dan ikatan antara kerajaan dengan rakyat khususnya malahan Umno juga
mengiktiraf betapa pentingnya media.
“Peranan media kepada parti
politik perlu diberikan perhatian yang berat. Ini kerana media boleh sampaikan
hasrat kerajaan untuk mencapai sesuatu objektif yang murni itu secara positif
dan negatif,” kata beliau lagi.
Najib juga menjamin kepada
rakyat Malaysia, pentadbiran yang diketuai beliau akan mengekalkan sikap
keterbukaan tersebut serta pada masa sama sentiasa melakukan penambahbaikan
demi kepentingan semua rakyat tidak kira bangsa dan agama.
Sementara itu, Timbalan
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia Datuk Mohd Zaini Hassan dalam
ucapannya juga menyatakan sudah tiba masanya kerajaan bersikap terbuka dan
menerima sebarang kritikan.
"Saya rasa sudah tiba
masanya semua menerima teguran, tapi harus faham teguran dan tohmahan adalah
dua perkara berbeza.
"Kerajaan dalam pada
itu perlu waras dalam membalas semua kritikan dan tidak perlu hentam-menghentam
antara satu sama lain," kata beliau.
Disamping itu, Zaini juga
mengesyorkan kepada Najib untuk memberikan kebebasan kepada media terutamanya
melibatkan permit dan lesen penerbitan.
Menjelang pilihan raya tidak
lama lagi tahun ini, pentadbiran Najib dan Umno yang dipimpinnya berhadapan
ujian paling getir sejak kemerdekaan terutamanya apabila pembangkang
membangkitkan pelbagai isu kontroversi melibatkan pemimpin politik dalam Umno.
Najib dilihat agak bergelut
dengan skandal seperti kes rasuah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang
(PKFZ), Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), kes derma politik RM40 juta kepada Umno
Sabah dan yang terbaru adalah melibatkan kes penjualan tanah oleh Ketua Wanita
Umno Selangor, Datuk Raja Roopiah Abdullah.
Dalam pada itu, perhimpunan
hari ini oleh Pakatan Rakyat (PR) diakhiri dengan ikrar tidak akan berkompromi
dengan rasuah atau sebarang percubaan untuk merompak harta rakyat.
Himpunan Kebangkitan Rakyat
yang dianjurkan oleh kedua-dua pemimpin politik dari PR dan pelbagai kumpulan
masyarakat sivil sebagai wadah akhir untuk mengangkat isu-isu sebelum pilihan
raya umum ke-13 yang perlu diadakan tahun ini.
PRU ke 13 dijangkakan
sebagai paling sengit dalam sejarah bagi BN kerana buat pertama kalinya perlu
berhadapan dengan pembangkang yang paling tersusun. (TMI)
No comments:
Post a Comment