Wednesday 23 January 2013

YAYASAN YANG MENGAYAS DI SABAH?






Saudara Pengarang,

SUDAH lama saya memendam rasa untuk mengajukan masalah ini di Sabahkini.net, tetapi baru hari ini saya terpanggil untuk menulis di Sabahkini.net dengan harapan dapat membuka mata rakyat Sabah.

Saya rasa isu ini telah lama timbul tetapi tidak ada yang berani mempersoalkannya. Mesti ramai yang sudahpun mengenali nama Yayasan Sabah yang dahulunya banyak memberi bantuan kepada sekolah rendah seperti pakaian, kasut, buku dan alat tulis.

Tetapi isu ini bukanlah mengenai Yayasan Sabah tetapi subsidiari Yayasan Sabah iaitu Kolej Yayasan Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Komuniti Yayasan Sabah.

Seperti yang kita sedia maklum, Kolej Yayasan Sabah adalah di bawah pengurusan Yayasan Sabah. Suatu ketika dahulu, Yayasan Sabah kaya dengan hasil balak dan tanah, tetapi kenapa buat kolej pun menyewa tempat? Bangunan pun bangunan lama? Ke mana perginya kekayaan mereka? Seolah-olah mereka membuat kolej secara suka-suka, tidak ada perancangan yang teliti.

Tidak ramai yang tahu sebenarnya Kolej Yayasan Sabah mempunyai 3 kampus iaitu A, B dan C, yang paling maju sekarang ialah di Kampus C yang terletak di Sembulan berdekatan dengan Wisma Muis.

Agak menghairankan kenapa Kampus C yang maju dahulu sebelum A dan B? Kalau ikutkan gred A dan B lagi tinggi. Mesti ramai yang masih belum tahu Kampus A dan B terletak di mana?

Kampus A dan B terletak di Likas iaitu berdekatan dengan bangunan Menara Tun Mustapha dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Yang lebih memilukan ialah kawasan kolej dikelilingi oleh hutan, papantandapun tidak ada; tidak ubah seperti 'Lost World' iaitu seolah-olah tidak wujud.

Pada hakikatnya terletak bersebelahan jalan utama ke Sepanggar, UMS dan 1Borneo. Kalau Institusi yang kita bangga mesti kita akan tunjukkan tetapi Kolej Yayasan Sabah disembunyikan pula, seolah-olah takut kebenaran akan dilihat.

Itu bermakna Kampus C Sembulan dan nama Yayasan Sabah hanyalah 'TOPENG' mereka untuk menipu rakyat Sabah khasnya. Seperti 'magic' atau pun silap mata. Kita kagum dan teruja apabila melihat aksi 'Ahli Silap Mata' itu tetapi apabila kita sudah tahu yang kita ditipu, mestilah kita kecewa.

Mangsa mereka ialah orang kampung yang masih dengan ideologi lama; yang berfikir mereka masih lagi di zaman kegemilangan Yayasan Sabah'.

Maka tidak hairanlah mereka mudah ditipu dengan ayat-ayat manis dan janji-janji palsu. Jika mahu menguruskan sesuatu pelajar dari Kampus A dan B terpaksa pergi lagi ke Kampus C disebabkan pengurusan yang lembab di Kampus A dan B.

Jika anda bertanya sesuatu di pihak pengurusan Kampus A dan B, mereka akan telefon pula pihak pengurusan di Kampus C. Apa ertinya semua ini? Jarak dari Likas ke Sembulan bukannya dekat. Bukankah menyusahkan pelajar?

Apatah lagi kata mereka yuran di Kolej Yayasan Sabah merupakan yuran yang termurah. Memang murah tapi kualiti pun murah juga. Jadi di mana istimewanya?

Bengkel automotif pun masih lagi menggunakan enjin-enjin teknologi lama. Tidak ada enjin yang boleh hidup. Tidak ada kenderaan pandu uji. Alat pengujian dan diagnosis pun tidak ada sampaikan pensyarah tidak dapat mengajar disebabkan ketiadaan alat.

Tidak ada Pensyarah yang berpengalaman disebabkan gaji yang rendah. Yang paling menghairankan Diploma Teknologi Automotif boleh buat sekali dengan Sijil Tahap 1 dan 2 dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Logikkah begini?

Persoalannya, bagaimana pihak MQA boleh meluluskan sijil tersebut sedangkan sijil tahap 1 dan 2 banyak amali dari teori; manakala diploma banyak teori dari amali.

Memandangkan alat pun tidak cukup, spesifikasi bengkel pun tidak sesuai; kelihatannya seperti ada unsur rasuah kerana secara bebas mengambil pelajar; yang penting bagi mereka ialah wang.

Mengejutkan juga kerana yang paling ramai menjadi pelajar ialah golongan IC PROJEK dari Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Maka bertambahlah golongan itu di Kota Kinabalu.

Kenapa saya ajukan persoalan ini di sini? Jika anda ajukan persoalan ini kepada mereka, maka dengan selamba mereka akan jawab sudah belajar ‘’BAYAR’’ lah.

Kalau untuk pelajar Kampus C siap import dari Korea lagi, selepas itu masuk akhbar. Tetapi  jika Kampus A dan B ada apa? Macam pilih kasih pun ada juga. Sekarang ternyata sudah misi dan visi Kolej Yayasan Sabah tidak boleh pakai.

Kini ternyata, Yayasan Sabah bukan untuk orang Sabah lagi tetapi untuk orang yang pentingkan diri sendiri kerana mereka mengayas (bermaharajalela) sesuka hati!

Salam Hormat,

MIKE ASHLEY

No comments:

Post a Comment