Thursday 28 February 2013

10 GAJAH PYGMY DIPINDAH KE TABIN







LAHAD DATU : Sepuluh gajah Borneo pygmy yang merayau lebih 45 km dari kawasan pemuliharaan gajah Tabin hingga ke kawasan 10 km dari pekan Lahad Datu, berjaya diselamatkan dalam tempoh seminggu mulai 18 Jan.

Melalui usaha yang diselaraskan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Jabatan Hidupan Liar Sabah itu, sembilan gajah betina dipindahkan ke Rizab Hidupan Liar Tabin, manakala seekor gajah jantan berusia lebih kurang empat tahun, yang cedera teruk pada belalainya, dipercayai akibat terkena perangkap, dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi dekat Kota Kinabalu.

Pegawai kanan WRU Jibius Dausip berkata satu pasukan dihantar selepas pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki di Sri Tungku Simpang Ladang Permai yang mengadu bahawa beberapa ekor gajah berkeliaran berhampiran rumahnya.

Katanya, kumpulan gajah itu berkemungkinan merupakan sebahagian daripada satu keluarga yang merayau jauh dari kawasan tradisionalnya.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Danau Girang Field Centre (DGFC) hari ini, ahli veterinar hidupan liar WRU Dr Diana Ramirez berkata gajah yang cedera itu perlu dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi kerana ia mempunyai peluang tipis untuk terus hidup sekiranya dibiarkan tinggal di hutan biasa.

Katanya dua gajah betina paling besar dalam kumpulan itu dipasang alat satelit yang dibekalkan DGFC untuk memantau pergerakan mereka.

Pegawai kanan jabatan itu, yang juga pengurus WRU Dr Senthilvel Nathan berkata kesemua gajah berkenaan tidak dapat dipindah dan dilepaskan kembali dalam sehari atas sebab logistik.

"Kami sedang mengkaji kemungkinan melepaskan kumpulan gajah yang dipindah semula ini secara serentak pada masa akan datang untuk mengelak mereka terpisah antara satu sama lain.

"Ini mungkin melibatkan kos lebih tinggi dan lebih mencabar daripada segi logistik kerana kami perlu menyediakan kawasan khas pra pembebasan dan menyewa lebih banyak lori untuk mengangkut haiwan terbabit.

"Bagaimanapun, tumpuan utama kami ialah kebajikan gajah-gajah ini dan memastikan mereka tidak terpisah antara satu sama lain," kata Nathan.

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata kegiatan pertanian secara besar-besaran di Sabah melalui perladangan, termasuk penanaman sawit, menjejaskan dengan teruk habitat gajah dan hidupan liar lain, sekali gus menyebabkan konflik antara manusia dan gajah semakin kerap berlaku.

Katanya kematian 14 gajah baru-baru ini berkemungkinan besar berpunca daripada konflik manusia-gajah yang terjadi di kawasan hidupan haiwan itu dan kejadian ini dengan jelas menuntut agar landskap di sekitar kawsan ladang perlu diurus dengan lebih baik melalui penyediaan laluan untuk membolehkan hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan lain.

"Selepas sebulan membuat pemantauan melalui satelit, kami boleh mengesahkan bahawa dua gajah betina berkenaan hanya berkeliaran di kawasan rizab dan tidak memasuki ladang di sekitar Tabin. Sekiranya mereka kembali ke kawasan di sekitar Lahad Datu, kami akan membuat analisis tentang pola penghijrahan mereka dan menasihati pemilik ladang tentang cara memagar tanah mereka bagi mengelak berlaku lebih banyak kes pencerobohan.

"Walaupun mewujudkan koridor di kawasan ladang dan antara hutan simpan boleh mengekang berlakunya konflik, namun langkah segera juga perlu diambil untuk menghentikan perbuatan menukar status tanah di kawasan kediaman gajah seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Gajah Negeri yang dilancarkan baru-baru ini. Semua hutan simpan di kawasan hidupan gajah perlu dinaik taraf kepada Kelas Satu untuk menjadikannya kawasan kediaman gajah yang tidak boleh diusik," kata Goossens.

Beliau berkata pemindahan gajah ke kawasan baharu merupakan sebahagian daripada program jangka panjang yang dilancarkan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan DGFC tahun lepas bagi menangani konflik antara manusia dan gajah di kawasan ladang, termasuk ladang sawit.

Program itu dibiayai Yayasan Gajah Asia dan Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed. (Bernama)

No comments:

Post a Comment