Thursday 7 February 2013

19 DICEKUP, 109 MESIN SLOT JUDI DIRAMPAS







Oleh :  AMIR ANUAR

TAWAU: Pihak polis menangkap 19 suspek dan merampas 109 mesin slot judi haram melibatkan perjudian pelbagai jenis dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita berumur 20-35 tahun kerana disyaki terlibat di dalam kegiatan terbabit.

“Pihak polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan operasi ini diadakan,” katanya semasa mengulas mengenai kejayaan terbaru pihak polis itu di sini kelmarin.

Awang berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan polis menyerbu sebuah premis di kawasan Taman Hill Top pada Ahad lepas kira-kira jam 12.05 pagi dan berhasil menangkap lima individu termasuk dua perempuan dan merampas 43 mesin slot judi.

Manakala, dalam serbuan kedua pula, pihak polis menahan seorang lelaki dan dua wanita serta merampas 19 mesin slot judi di kawasan Takada pada hari keesokannya kira-kira jam 1.15 pagi.

“Serbuan ketiga pada hari sama dijalankan sekitar jam 6 petang di sebuah premis judi di Taman Bintang, Batu 3 Jalan Apas dan seramai 11 individu termasuk tiga wanita ditahan serta sebanyak 47 mesin slot judi dirampas bersama peralatan lain.

“Siasatan lanjut terhadap kesemua individu yang ditangkap dan barang-barang rampasan ini dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya sambil mengingatkan orang awam agar mengelak daripada terbabit dalam kegiatan sedemikian. (UB)

No comments:

Post a Comment