Friday 22 February 2013

ANIFAH TARIK DIRI PRU-13?






Oleh : MUTALIB M.D

MENGIKUT sumber terdekat, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dikatakan akan menarik diri daripada mempertahankan Kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-13 akan datang.

Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis sebelum ini dikatakan ingin bersara daripada politik atas faktor kesihatan dan ingin memimpin sebuah NGO bertaraf antarabangsa.

Kata sumber itu lagi, Anifah sudah bosan dengan tindak tanduk pemimpin politik Sabah yang selama ini banyak 'bersandiwara' terutama dalam isu Petronas sehingga beliau dikhabarkan terpaksa menentang Petronas secara bersendirian sebelum mendapat sokongan pelbagai pihak.

Turut dikhabarkan, Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony sedang melobi kerusi yang bakal dikosongkan Anifah namun bakal ditentang hebat oleh beberapa tokoh Pro Anifah yang meminta nama mereka tidak didedahkan pada peringkat ini.

Bagaimanapun usaha Sabahkini.net menghubungi Anifah untuk mendapatkan pengesahan tidak berjaya kerana beliau dipercayai menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Anifah merupakan adik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang sebelum ini diwar-warkan sebagai Menteri paling rapat dengan Perdana Menteri sehingga berita ini sudah pastinya mengejutkan semua pihak.

Untuk rekod, Dato' Sri Anifah Aman @ Haniff Amman dilahirkan pada 16 November 1953 pernah menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan sebelum dilantik sebagai Menteri Luar.

Anifah yang bernikah dengan Datin Sri Rubiah Datuk Abdul Samad dikurniakan 3 orang anak merupakan graduan Sarjana dalam Falsafah Ekonomi Dan Undang-Undang dari University College of Buckingham (kini University of Buckingham), United Kingdom.

Beliau memasuki politik apabila mula bertanding sebagai calon Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pada pilihan raya 1994. Bagaimanapun, beliau tewas di kerusi DUN Klias dalam satu pertandingan sengit antara Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pada ketika itu, Datuk Lajim Ukin yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti 405 undi.

Anifah sekali lagi diberi peluang pada pilihan raya 1999 untuk bertanding kerusi Parlimen Beaufort dan memenanginya.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari PKR, Ismaily Bungsu dengan majoriti sebanyak 5,453 undi. Beliau memperolehi 10,242 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 1,615 undi. Dua lagi calon bebas ialah Jaafar Ismail (4,789) dan Benjamin Basintal (205).

Anifah pernah menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan yang ditawarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana sebelum pilihan raya 2008, beliau telah menjadi Timbalan Menteri selama dua penggal.

No comments:

Post a Comment