Thursday 14 February 2013

APMM MAHU TAMBAH 12 PANGKALAN BARU







KUALA LUMPUR : Dalam usaha untuk memendekkan masa respons operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari dua jam kepada satu jam, agensi itu berhasrat menambah sekurang-kurangnya 12 lagi pangkalan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kini terdapat 18 pangkalan APMM di seluruh negara dan ia berhasrat meningkatkannya kepada 30 pangkalan.

"Hasrat kita untuk meletakkan tiap-tiap 60 batu nautika sebuah pangkalan atau pos supaya jika ada maklumat, aduan akan terus diberikan," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

APMM yang baru beroperasi selama lapan tahun dan merupakan agensi penguatkuasaan maritim termuda di dunia, berjaya menurunkan kira-kira 45 peratus kadar jenayah di perairan negara dalam tempoh itu.

Kadar jenayah maritim pada 2006 adalah sebanyak 48.06 peratus dan ia menurun setiap tahun hingga ke paras hanya tiga peratus pada 31 Disember tahun lepas.

Beliau berkata pusat pangkalan tambahan itu disasarkan untuk diletakkan di pulau-pulau di luar perairan seperti Pulau Jarak di Perak.

"Pangkalan-pangkalan tersebut akan dilengkapi pejabat yang mempunyai bilik kawalan 24 jam untuk menerima maklumat jenayah sebelum kapal-kapal rondaan akan dikerahkan," katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan rondaan serta menangani jenayah lautan, APMM mempunyai 12 radar beserta kamera yang diletakkan di seluruh Malaysia di mana sembilan di pantai barat Semenanjung dan tiga lagi di kawasan timur Sabah.

Ahmad Puzi berkata radar-radar yang dilengkapi kamera tersebut mampu mengesan pergerakan bot serta kapal-kapal di perairan negara yang melakukan kegiatan jenayah terutama dalam aktiviti penyeludupan.

"Mana yang kita dapat kesan dan syaki (bot dan kapal), kita akan pintas dan buat pemeriksaan, banyak juga kapal yang kita pintas.

"Sebagai contoh pelakuan jenayah di perairan Tanjung Piai, Johor pada pukul 1.50 pagi di mana usaha penjenayah hendak menaiki dari satu kapal ke kapal yang lain dapat direkodkan melalui radar dan kamera yang kita pasang," katanya.

Terdapat juga di sesetengah kawasan yang tidak dipasang radar berkamera tetapi menggunakan 'mobile radar' seperti di Pulau Pinang serta pesisiran pantai Perak.

"Setakat ini kita mempunyai dua mobile radar yang digunakan dari semasa ke semasa mengikut kawasan panas atau hotspot yang telah dikenal pasti," katanya.

Mobile radar ialah radar yang menggunakan sistem pengesan bunyi untuk mengesan objek berdasarkan kepada kelajuan tanpa menggunakan rakaman visual. (Bernama)

No comments:

Post a Comment