Thursday 14 February 2013

BATU SAPI KEKAL DALAM TANGAN BN






SEMANGAT...Ketiga-tiga Pemimpin BN ADUN, Sekong Samsudin, ADR Batu Sapi Linda Tsen dan ADUN Karamunting Peter Pang yakin  BN dapat menawan ketiga-tiga kerusi pada PRU 13 nanti.

Oleh: SHAIMON S JUMADI


SEKONG :  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, melahirkan keyakinannya kawasan Batu Sapi akan tetap menjadi kubu kuat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sama ada beliau terpilih sebagai calon ataupun tidak.

Menurut beliau, janganlah pihak pembangkang bermimpi untuk merampas Batu Sapi termasuk dua DUN iaitu Karamunting dan Sekong memandangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada tidak pernah berbelah-bahagi.

Ini katanya, sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia menjadikan kawasan ini tetap sebagai kubu kuat kerajaan BN.

"Jangan mimpilah kepada mana-mana kumpulan pembangkang untuk cuba merampas kawasan ini kerana rakyat tetap dengan BN. Rakyat Batu Sapi tidak akan berganjak malahan akan terus memberikan sokongan padu demi kemenangan BN pada PRU-13 nanti.

"Lagi pun rakyat sudah pandai berpolitik. Mereka tahu kerajaan mana yang perlu diberikan sokongan daripada memilih parti yang suka menjanjikan bulan dan bintang," tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh sewaktu melancarkan Jentera Pilihanraya Pemuda BN Batu Sapi di perkarangan Flat MPS Karamunting, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan merangkap Adun Karamunting, Datuk Peter Pang En Yin; Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin; Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Batu Sapi, Mohd Firdaus Datuk Akbar Khan serta Ketua Puteri Umno Batu Sapi, Latifah Tahir.

Dalam konteks itu, Samsudin mengarahkan jentera Pemuda BN Batu Sapi giat turun padang bagi memastikan setiap jentera parti dapat diperkukuhkan sekali gus menyumbang kepada kekuatan parti.

Beliau memuji usaha dan inisiatif Mohd Firdaus yang tidak putus-putus melaksanakan pelbagai pendekatan demi membela anak-anak muda sekali gus menunjukkan keprihatinan mereka kepada pembangunan golongan tersebut.

"Pendekatan Mohd Firdaus dan barisan jawatankuasanya memperkukuh kan lagi kepercayaan rakyat terutama anak-anak muda kepada BN yang selama ini banyak memberikan bantuan dan galakan dalam pelbagai bidang.

"Saya yakin kawasan ini tetap menjadi milik BN memandangkan sokongan rakyat semakin meningkat tambahan lagi Pemuda Umno Batu Sapi kini siap siaga dengan jentera yang mampu menepis segala dakyah-dakyah dari pihak pembangkang.

"Rakyat jangan percaya ini pembangkang. Mereka suka sangat putarbelitkan fakta mahu pun isu. Percayalah, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kepada saudara. BN saja mampu membela nasib bangsa, agama dan negara," kata Samsudin.

No comments:

Post a Comment