Saturday 2 February 2013

BUDAYA FITNAH DI SABAH MEMBARAH






FITNAH.....Lebih mengejutkan kata pemimpin politik veteran Umno itu, budaya kotor itu bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin pembangkang, sebaliknya sesama BN.

Oleh : MUDA MOHD. NOOR

PETALING JAYA : Bekas ketua Umno Tenom di Sabah, Datuk Rizalman Abdullah berkata, budaya memfitnah di kalangan ahli politik  di Sabah sukar diubah kerana semakin menjadi darah daging.

Katanya, budaya ini bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin politik tetapi rakyat kebanyakan di Sabah.

Lebih mengejutkan kata pemimpin politik veteran Umno itu, budaya kotor itu bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin pembangkang, sebaliknya sesama BN sendiri.

“Jika pembangkang memfitnah pemimpin BN ia adalah biasa dan adat dalam politik tetapi yang peliknya budaya fitnah di kalangan pemimpin BN. Ini yang berlaku di kalangan masyarakat Sabah…ini yang saya malu. Tetapi tidak boleh buat apa lagi kerana sudah menajdi budaya rakyat Malaysia,” katanya.

Rizalman pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan lewat tahun 1990-an dan menjadi ketua Umno Tenom selama tiga penggal sebelum tewas pada pemilihan tahun 2009.

Ketika ditanya mengenai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Rizalman berkata, orang menyebarkan fitnah terhadapnya kerana mahu merampas jawatan dan kuasa yang ada padanya.

“Pemimpin pembangkang menyebar fitnah terhadap Datuk Musa kerana mahu merampas jawatannya tetapi orang BN berbuat demikian kerana marah kerana sudah terlalu lama menjadi Ketua Menteri.

“Masa Datuk Musa baru menjadi Ketua Menteri, tidak ada seorang pun yang memfitnahnya tetapi kini setiap hari,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun,  Rizalman menegaskan orang politik memang tidak boleh mengelak daripada fitnah walaupun kadang-kadang dituduh dengan dakwaan yang tidak berasas langsung.

No comments:

Post a Comment