Tuesday 5 February 2013

DAP HALAU ORANG MISKIN KELUAR PULAU PINANG?






Oleh: AZLINA ROSDY

TASEK GELUGOR :  Bukan sahaja tidak logik dan tidak masuk akal, rumah mampu milik di Pulau Pinang berharga RM400,000 adalah cara halus DAP menghalau orang miskin dari negeri itu, demikian pandangan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jahara Hamid.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya menggunakan nama ‘rumah mampu milik’ tetapi pada hakikatnya harga yang ditawarkan jauh dari jangkauan rakyat.

“Mana mungkin rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mampu membeli rumah berharga sedemikian. Kalau sudah berharga sampai RM400 ribu, ini bukan lagi rumah mampu milik, tetapi rumah mampu mimpi. Bagaimana mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mampu membeli rumah harga sebegini.

“Golongan muda yang baru bekerja dan baru berkahwin juga tidak akan mampu beli. Hanya mereka yang kaya sahaja yang mampu beli. Malah saya melihat ini adalah salah satu strategi DAP menghalau mereka yang berpendapatan rendah dari negeri Pulau Pinang.

“Mereka seakan mahu menjadikan negeri ini hanya untuk golongan elit sahaja. Siapa yang tidak mampu sila keluar dari negeri ini. Cara inikah mahu bantu rakyat…,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Jahara lagi, seharusnya projek rumah mampu milik adalah sebuah projek yang membantu rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki rumah. Oleh itu projek sebegini tidak seharusnya bermotifkan keuntungan kerana ia bagi memastikan keperluan masyarakat dipenuhi.

“Namun, apabila harga tinggi diletakkan, bagaimana mereka yang tidak mampu mahu memiliki rumah. Ia terang-terangan menyusahkan rakyat. Apabila rakyat negeri ini tidak mampu untuk membeli rumah di negeri mereka sendiri maka mereka akan mencari di negeri berdekatan.

“Golongan rendah dan sederhana ini akan keluar membeli rumah di negeri lain. Maka siapa lagi yang tinggal di negeri ini? Hanya golongan elit. Janji untuk membela nasib rakyat miskin terus berkubur kerana DAP hanya mengejar wang,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata unit rumah seluas 1,000 kaki persegi ditawarkan pada harga siling RM400,000 itu adalah di luar kemampuan bagi golongan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan. (MediaUMNO)

No comments:

Post a Comment