Monday 11 February 2013

DEMOKRASI BUKAN JAMINAN KESELAMATAN






PRIHATIN.........Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Sabdali Bang salah seorang bekas tentera pada majlis itu.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

KOTA BELUD : Seramai 224 orang bekas anggota tentera tidak berpencen dari tiga buah daerah telah mendapat bantuan One-Off  sejumlah RM1,000 seorang, baru-baru ini.

149 orang penerima dari dearah Kota Belud, 53 orang dari daerah Kudat sementara 22 orang dari dearah Kota Marudu yang mendapat manfaat dari program tersebut.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan yang telah diadakan di Dewan Tun Said dekat sini.

Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah dalam ucapannya berkata tidak semua kerajaan yang ada di dunia ini mampu menjamin keselamatan negara mereka.

Abdul Rahman berkata dia tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mana-mana kerajaan pun mampu untuk menjamin keselamatan negara.

“Kita lihat sahaja di kawasan di sekeliling negara kita yang tercinta ini, sebagai contohnya di negara Philipina, negara Philipina juga mempunyai kerajaan yang dilantik melalui proses pilihanraya, rakyat mengundi kerajaan di negara tersebut itu dan kerajaan di negara itu dipilih melalui proses demokrasi , mereka ada Presiden mereka ada kerajaan dan mereka ada kabinet juga ada pilihanraya.”

“Tetapi kita semua tahu bahawa di negara tersebut keamanan di negara  itu sampai sekarang mengalami masalah keselamatan, bom di merata tempat sering berlaku, perang saudara, ratusan ribu orang meninggal dunia kerana apa?. Walaupun kerajaan mereka itu dipilih oleh rakyat secara demokrasi dan mengundi, ini kerana keamanan tidak ada.” jelasnya lagi.

Beliau juga mengambil contoh di negara Thailand di sebelah timur dan utara negara jiran Malaysia, perkara yang sama juga berlaku.

Menurut Abdul Rahman mereka juga melalui proses pilihanraya, rakyat memilih mereka, mereka ada Presiden ada Parlimen ada kabinet tetapi negara mereka huru hara dari segi keselamatan dalam negeri.

“Hairannya bila kita masuk sahaja ke sempadan negara kita aman damai tetepi jika kita masuk ke negara Thailand kita akan terdengar letupan bom, berbunuhan, berlaku peperangan, apabila kita masuk semula ke negara Malaysia kita merasa aman damai.”

“Kalau kita berdiri di negeri Perlis tidak jauh dari sempadan negara Thailand sejauh 30 kilometer seperti di antara Kota Belud dengan Tuaran, tetapi di situ berlaku letupan bom sebaliknya di Kota Belud tidak berlaku letupan bom, kerana apa?

"Kerana kita ada pasukan angkatan tentera yang berwibawa dan dihormati oleh rakyat, sejarah keamanan bermula daripada pengorbanan angkatan tentera terdahulu dan disambung oleh generasi angkatan tentera yang ada ketika ini dibantu dengan pihak Polis.” tambahnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu antaranya ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam; Pengarah Matjamin Madalasi; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Sabah, Ketua Cawangan Bekas Tentera Kota Belud, Mohd Azim; Ketua Cawangan Bekas Tentera Kudat, Mohd Ali Yakob dan Ketua Cawangan Bekas Tentera Kota Marudu, Kamarulzaman Bayang.

No comments:

Post a Comment