Thursday 7 February 2013

EMPAT LELAKI BERHADAPAN TALI GANTUNG






TUNJUK.....Firdaus (tengah) menunjukkan paket plastik berisi dadah jenis syabu yang dirampas polis daripada salah seorang suspek dalam tangkapan berkenaan di sini kelmarin.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

SEMPORNA: Polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dalam dua tangkapan berasingan kerana didapati memiliki syabu seberat 50.30 gram pada satu kejadian di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata kejadian berlaku pada 3 Februari lepas di perkarangan jeti pasar ikan Semporna sekitar jam 2 petang itu, sepasukan anggota telah bertindak menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 43 tahun kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan satu sampul surat berwarna putih yang tertera tulisan ‘By Air Mail’ dari poket sebelah kiri suspek.

“Apabila kandungan surat itu diperiksa, polis mendapati terdapat sepaket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih dan dipercayai dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan awal kita mendapati syabu berkenaan adalah seberat 50.30 gram dan susulan daripada insiden itu, polis kemudiannya menahan ketiga-tiga suspek untuk dibawa ke balai bagi proses siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Firdaus ekoran daripada tangkapan tiga suspek berkenaan, pihaknya berjaya menahan seorang lagi  suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun berhampiran bangunan KFC di pekan Semporna setelah difahamkan turut terlibat dalam kes itu.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang, kita menahan seorang lagi suspek yang sedang memandu Perodua Viva di lokasi terbabit kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Firdaus memberikan nasihat kepada golongan ibu bapa di daerah itu agar segera memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui terdapat kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah di kawasan sekitar mereka.

“Kita akan sentiasa terus berusaha memerangi dan membanteras kegiatan-kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai khususnya golongan ibu bapa agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan berkenaan di sini,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment