Monday 4 February 2013

HAMISA TIDAK PERNAH TURUN PADANG?






Oleh : FATMAWATTY YUSOF

PUSAT Aduan Rakyat Tanjong Batu, Tawau pada hari ini mengeluarkan kenyataan media berhubung isu perumahan terbengkalai di Taman Apas Permai di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu, menyatakan kekesalan terhadap SPNB di atas kegagalan pihak SPNB menyiapkan rumah tersebut  pada tarikh sepatutnya seperti mana yang termaktub di dalam perjanjian jual beli rumah. Banyak sekali janji pihak SPNB mengecewakan pembeli.

Lebih malang lagi, Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu,  melihat masalah rakyat ini hanya dipandang sepi tanpa sebarang solusi yang konkrit daripada pihak berwajib.

Malah, umum mengetahui bahawa kontraktor utama untuk projek ini iaitu syarikat Supernesa Sdn Bhd, sebuah GLC Kerajaan yang dipengerusikan oleh Datuk Hamisa Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu.

Ganjilnya Hamisa tidak pernah turun padang membela nasib rakyat tertindas ini sehingga para pembeli mengambil inisiatif sendiri untuk membentuk jawatankuasa bertindak demi membela nasib mereka.

Aduan demi aduan telah diajukan menerusi laman-laman aduan kerajaan. Demikian juga cadangan mengadakan perhimpunan aman menuntut pembelaan dan termasuk juga cadangan untuk menghantar surat kepada Perdana Menteri telah dilakukan.

Sumber daripada pembeli sendiri memaklumkan mereka menandatangani perjanjian pada 14 Mei 2008 yang menyatakan bahawa projek tersebut akan siap dalam tempoh 2 tahun 6 bulan.

Bagaimanapun, selepas tamat tempoh tersebut, rumah yang dijanjikan masih tidak boleh diduduk. Oleh itu, pembeli mendapatkan pampasan daripada pemaju. Kesabaran pembeli mula tercabar apabila tarikh demi tarikh diumumkan, masih juga belum menampakan tanda-tanda yang rumah mereka akan siap untuk diduduki.

Perkara ini adalah satu penganiayaan terhadap rakyat. Akhirnya, sebagai gula-gula kepada pembeli, satu sesi penyerahan kunci berserta permit menduduki (OC) sementara selama 3 bulan telah diadakan pada 28 januari yang lalu.

Seperti yang dijangka, tidak ada seorang pun pembeli yang sanggup menerima kunci tersebut, sebaliknya berang terhadap tindakan pihak SPNB.

Hal ini berlaku kerana rumah yang diberikan OC masih belum selamat untuk diduduki. Kerosakan seperti siling yang retak, tanah mendap, atap bocor, sistem pemparitan tiada, malah keperluan asas seperti sumber air juga belum ada.

Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu,  melihat perkara menganggap ia penafian hak rakyat untuk menikmati kehidupan yang selesa. Tambahan lagi, rumah tersebut sebenarnya tidak mendapat sijil menduduki (CF) dan pastinya tidak selamat untuk diduduki.

SPNB sepatutnya memastikan keadaan rumah tersebut, benar-benar selamat untuk diduduki sebelum membuat majlis penyerahan kunci. Namun perkara sebaliknya dilakukan oleh pihak pemaju.

Hal ini turut menimbulkan keraguan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena apabila projek perumahan Negara ini terbengkalai sekian lama. Pada hemat Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu, tindakan pembeli yang enggan menerima kunci tersebut adalah tindakan yang tepat.

Justeru, di peringkat Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu,  melihat perlu tindakan segera perlu diambil sebagai pembelaan kepada pembeli. Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu, akan membawa aduan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu ini.

Selain itu, Pusat Aduan Rakyat Tanjong Batu, akan membantu para pembeli dalam menyediakan khidmat guaman sekiranya para pembeli berhadapan dengan masalah selepas ini dengan SPNB. Diharap dengan beberapa tindakan awal ini, dapat membantu pembeli perumahan Taman Apas Permai. (Media PAS)

No comments:

Post a Comment