Saturday 23 February 2013

KENYATAAN NIK AZIZ HINA PENERIMA BR1M






KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat yang memerlukan bantuan.

“Saya hairan dan takjub bagaimana seorang Menteri Besar dan pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip agama Islam boleh membuat satu kenyataan yang begitu menghina penerima bantuan, yang saya tahu jumlahnya amat ramai,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di sini semalam.

Katanya, penerima bantuan tersebut merupakan kumpulan yang dikenal pasti kerajaan benar-benar memerlukan bantuan dan pemberian BR1M dapat membantu mengubah kehidupan penerima ke arah masa depan lebih selesa.

Baru-baru ini, Nik Aziz berkata pemberian BR1M tersebut mendapat sambutan rakyat dan mengibaratkan penerima “sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.”

Muhyiddin sedih golongan kurang mampu dipandang hina dan diperkecilkan oleh pemimpin PAS itu.

“Ini sesuatu (kenyataan) yang tidak harus keluar daripada (mulut) seseorang yang mengatakan dirinya tokoh agama. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Lepas itu, dia (Nik Aziz) mengeluarkan fatwa menghukumkan ini (pemberian bantuan) satu perbuatan yang haram dan bertentangan dengan agama,” katanya.

Muhyiddin berkata kenyataan Nik Aziz tersebut bercanggah dengan Islam dan harus disangkal oleh tokoh-tokoh agama lain.

“Amalan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah sesuatu untuk membela, membantu, satu kerja amal yang patutnya didukung dan disokong oleh sesiapa pun.

“Jadi, dia (Nik Aziz) sudah membuat satu kenyataan yang sudah cukup bercanggah dengan hukum Islam sebenarnya, satu kesalahan dari segi agama,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment