Tuesday 5 February 2013

KERAJAAN BINA 30 MASJID DAN SURAU






BINCANG...Dato Sri Nasir (kanan); A.M.Ibnu (dua kanan); Tahir Amir dan Imam Abd Salam Sulaibahan (kiri) semasa meninjau surau Kg.Bulingisan 1 di Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN

SEMPORNA:Kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan masjid dan surau di negeri ini bagi kemudahan penduduk melaksana ibadat dan aktiviti keagamaan.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Dato Sri Hj Nasir Tun Sakaran berkata sepanjang tahun lalu lebih 30 buah masjid dan surau dibina dan dinaik taraf di seluruh negeri Sabah.

Beliau berkata demikian selepas melawat projek pembinaan masjid Bukit Lalang dan surau Kampung Bulingisan 1 di Semporna.

Turut serta dalam lawatan dan tinjauan itu,Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba dan Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Dun Senallang, Haji Tahir Amir.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, menjelaskan daripada jumlah itu lima buah surau daripada peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sebuah masjid melalui peruntukan Jheains telah siap dibina di daerah itu.

Katanya, usaha berkenaan amat perlu bagi kegunaan penduduk bukan sahaja untuk menunaikan ibadah malah mengadakan pelbagai program keagamaan, selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan.

Dato Sri Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini berharap segala kemudahan berkenaan akan meningkatkan tahap kesedaran umat Islam terhadap fungsi masjid dan surau.

Dalam masa sama, beliau mengajak seluruh umat Islam di negeri ini agar sentiasa mensyukuri segala nikmat pembangunan yang dibawa kerajaan demi kesejahteraan dan keharmonian hidup serta mengelak daripada mendengar fitnah, tohmahan serta hasutan yang sering dimainkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment