Saturday 23 February 2013

KERAJAAN BN TIDAK PILIH KASIH





             
DENGAR...... Wanita Umno menjadi wadah mendengar dan menghayati denyut nadi rakyat. Azizah dan penduduk Kg Kilugus berinteraksi dengan mesra pada program Jelajah Salam Sayang di Kg Kilugus Kuala Penyu.

Oleh : ABU BAKAR ESAH
KUALA PENYU: Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam memberi bantuan kepada rakyat termasuk mereka yang menyokong parti pembangkang, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Phwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, semua rakyat yang layak berhak menerima bantuan yang disediakan melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama serta pegangan politik.

“Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional bersikap adil menyalurkan bantuan untuk membela rakyat. Sebagai menteri saya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan supaya menyekat atau mengeluarkan senarai penerima bantuan kepada mereka yang menyokong parti pembangkang,” katanya menolak dakwaan pihak tertentu yang mahu memesongkan pemikiran penduduk khususnya di luar bandar.

“Kita tahu ada penduduk yang tidak menyokong kerajaan tetapi mereka terus mendapat segala bantuan dan kemudahan yang disediakan melalui prorgram yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan. Kenyataan atau khabar-khabar angin yang mengatakan bantuan mereka akan diberhentikan adalah tohmahan semata-mata. Justeru itu saya berharap rakyat tidak perlu bimbang kerana BN sentiasa bersikap adil kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Salam sayang pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort di Rumah kediaman Ketua Pemaju Mukim Kuala Penyu, Said di Kampung Kilugus di sini, kelmarin.

Pada program yang diahdiri kira-kira seratus penduduk itu Azizah menyampaikan sumbangan kepada warga emas.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias menyeru penduduk setempat menyedari bahawa kerajaan BN telah berjaya membawa pembangunan dan kesejahteraan hidup kepada rakyat negara ini.

“Kerajaan BN dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membina sebuah kerajaan yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyat melalui program transformasi kerajaan secara menyeluruh.

“Dari masa ke semasa pelabagai bantuan dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat terus terbela seperti pemberian bantuan BR1M termasuk mereka yang bujang, Bantuan Lesen 1 Malaysia untuk belia, Bantuan RM100 1 Murid, rabet RM200 pembelian telefon pintar kepada belia dan banyak lagi bantuan-bantuan lain. Ini menunjukan kita mempunyai kerajaan yang baik dan sebagai rakyat kita mesti bersyukur dan perlu mempertahankan kerajaan agar segala kebaikan yang kita nikmati ini berterusan,” katanya sambil menambah kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk pembangunan secara holistik.

“Sokonglah BN. Kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk membangun negara dan rakyat dan generasi masa depan,” katanya.

Melalui program itu, Ketua Wanita Umno Beaufort itu dapat berinteraksi dengan penduduk secara santai sambil mendengar denyut nadi penduduk peringkat akar umbi.

No comments:

Post a Comment