Monday 18 February 2013

'MAFIA CPO' TAMPIL MEMBUAT PENJELASAN






FITNAH.....Sufriandy ketika ditembual wartawan Sabahkini.net menyifatkan dakwaan yang disiarkan sebelum ini adalah fitnah dan usaha pesaingnya untuk memusnahkan perniagaannya.

Oleh: SHERVANU DEWI BINTI ABDUL GHANI

“SAYA tidak bersalah dan semua tuduhan terhadap saya adalah tidak benar sama sekali kerana ia cuma serangan peribadi dan fitnah daripada pihak-pihak yang tidak senang dengan diri saya,” ujar Sufriandy Suparlan atau lebih dikenali dengan panggilan Asdar.

Unit Perisikan Khas Sabahkini.net telah mencari dan mengesan kedudukan Sufriandy dan seterusnya menemubual Sufriandy untuk mendapatkan keterangan dan kebenaran lanjut di sebalik  artikel bertajuk 'Mafia CPO Hidup Mewah atasKecuaian Polis?' yang disiarkan Sabahkini.net pada 6 Februari lalu.

Ketika ditemubual, Sufriandy menegaskan tohmahan yang dilemparkan kepadanya langsung tidak berasas kerana perniagaan beliau adalah bersih dan tidak pernah menyeleweng, apalagi melanggar undang-undang negara.

Berhubung dengan perusahaan pengangkutan lori tanker yang diusahakan beliau selama ini, Sufriandy bertegas bahawa tidak pernah terlibat sama sekali dengan aktiviti urus niaga penjualan Crude Palm Oil (CPO) di pasaran gelap.

“Tidak ada sebarang laporan PDRM mengenai perkara ini. Sehubungan itu saya mencabar pihak berkenaan untuk menunjukkan bukti salinan repot sekiranya ada kerana tidak pernah berlaku dan fitnah semata-mata; termasuk pemandu-pemandu lori yang dikatakan diugut oleh pihak saya. Di mana kebenarannya? Jangan hanya bercakap kosong tanpa sebarang bukti yang nyata,” jelas Sufriandy.

Katanya, mudah bagi pihak ‘pesaing’ mengaitkan perniagaan beliau dengan aktiviti negatif sedemikian kerana sudah menjadi lumrah manusia yang dengki dan sentiasa mencari jalan menghancurkan kebahagiaan orang lain.

Berhubung isu berkaitan pemilikan My Kad, Sufriandy menjelaskan MyKadnya adalah tulen dan bukan palsu; malah diperolehi dengan cara yang betul serta melalui proses perundangan yang sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Mengenai kad pengenalan saya, saya adalah diri saya dan tidak pernah membeli mana-mana surat beranak. My Kad saya diperolehi melalui saluran dan prosedur yang sah di sisi undang-undang seperti kebanyakan orang lain; tidak terkecuali Citra Masadi (Ketua Penerangan AMK),” kata Sufriandy kepada Sabahkini.net.

Beliau menambahkata, dia tidak pernah memberi ‘suapan’ kepada mana-mana pihak, sama ada anggota ataupun pegawai PDRM untuk kepentingan beliau dan menghormati tugas serta kepentingan pihak polis dan memastikan keamanan di daerah ini.

“Saya yakin PDRM telah menjalankan siasatan penuh dan untuk makluman kes tuduhan menampar pengurus telah ditarik sendiri oleh pengurus itu sendiri, jadi ini jelas membuktikan ada dalang di sebalik kejadian ini yang cuba merosakkan kehidupan saya dan keluarga,” jelasnya.

Mengenai tuduhan kes bom kereta dan tuduhan menampar serta ugut pengurus ladang, beliau turut menafikan tuduhan tersebut dan percaya pihak PDRM telah menjalankan siasatan yang lebih lanjut dan tidak mempunyai sebarang petunjuk atau bukti yang boleh dikaitkan penglibatan beliau daalam kes tersebut.

“Saya hairan dengan tuduhan saya suspek utama dalam kes bom kereta itu sedangkan saya tidak pernah ditahan untuk membantu siasatan. Ini jelas lagi bukti penipuan dalang kejadian ini. Saya rasa pelik mengapa ada pihak yang mengaitkan saya dengan kes ini secara fitnah; walhal saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan pengurus ladang, iaitu mangsa kereta yang dibom.

"Saya tidak menolak ini semua adalah kerja tangan pihak yang sedang bersaing dengan saya dalam bidang perniagaan dan kerana sifat cemburu serta iri hati pada kejayaan yang telah saya kecapi hasil kerja keras saya selama ini,” kata Sufriandy lagi.

Sufriandy turut kesal mengenai persoalan bagaimana beliau mampu memiliki kereta mewah dan dituduh melakukan pelbagai macam kaedah kotor.

“Kereta Fair Lady itu adalah hadiah buat isteri tercinta saya dan saya mampu untuk memiliki aset itu kerana perusahaan pengangkutan dan bengkel saya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Tapi saya amat kesal kenapa perlu persoalkan saya mampu?

"Sedangkan saya memang mampu untuk membayar CCM bulanan semua aset saya dengan hasil pernigaan saya. Saya juga ingin tegaskan di sini saya bukan orang kaya wang, tapi kaya dengan hutang,” katanya lagi.

Ditanya mengenai siapa dalang disebalik fitnah tersebut, Sufriandy berkata beliau telah mengetahui siapa dalang bertanggungjawab dan menasihati pihak tersebut agar segera memohon maaf dan tidak lagi mengulangi perkara ini.

Akhir sekali, Sufriandy berterima kasih kepada pihak editorial Sabahkini.net kerana telah berlaku adil terhadap dirinya untuk memberi keterangan dan ulasan mengenai tuduhan terhadap dirinya.

“Ini jelas menggambarkan bahawa Sabahkini.net telah mempertahankan kejujuran dan mengamalkan sistem yang yang telus dan adil dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment