Oleh : MUTALIB M.D
KEBERANIAN Perdana Menteri,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun
Baru di Pulau Pinang yang lebih dikenali sebagai Rumah Terbuka PSY, tidak ubah
seperti memasuki kandang 'harimau' yang sedang lapar.
Walaupun beliau tahu bahawa
Pulau Pinang dikuasai pembangkang, namun tetap bertegas untuk menghadiri majlis
berkenaan sekalipun sudah pasti yakin seratus peratus akan di 'boo' kerana mana
mungkin 'Harimau' mengembek seperti kambing.
Dalam keadaan penuh ghairah,
rakyat Pulau Pinang (Harimau) sememangnya akan 'mengaum' apabila Najib bertanya
"Are You Ready For PSY?"; sebaliknya mereka tidak akan 'mengembek'
(bunyi kambing) jika ditanya "Are You Ready For BN?". Logiknya kerana
'Harimau' (hari-hari mau) tidak makan sirih!
Bagi Najib, beliau mungkin
telah membuat perhitungan awal bahawa 'Boo' yang beliau bakal terima tidak
boleh dijadikan 'Kayu Ukur' ataupun penanda aras politik Pulau Pinang setelah
berlaku agitasi kaum, budaya dan politik sejak sekian lama.
Bak kata Mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir, jika 6 daripada 10 orang yang suka anda, maka anda
sudah memperoleh markah 100 peratus!
Apatah Najib sebagai
'Pemimpin UMNO' dan manusia biasa; sedangkan sukar untuk mencari enam daripada
10 manusia di Malaysia yang benar-benar taat kepada 'Allah' atau 'Tuhan'
masing-masing.
30,000 cemuhan ataupun 'Boo'
daripada 100,000 orang yang hadir hanyalah 3 daripada 10 orang yang tidak
menyukai BN; bermakna Najib telah mendapat markah 100 peratus; sekalipun berita
Najib di 'Boo' telah diledakkan di seluruh dunia melalui media massa dan media alternatif.
Persoalannya, mampukah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menampan serangan demi serangan BN ketika
rakyatnya mula goyah dan merasa tersisih melalui tindakan tidak popular
kerajaan negeri yang dikuasai DAP?
Kata pujangga untuk
memenangi sesuatu peperangan itu amat mudah, tetapi untuk mempertahankan
sesebuah kerajaan itu amat payah kerana musuh sering berada di dalam selimut.
Kita harap jangan nanti
seperti bidalan Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai. "Adakah anda
bersedia untuk kalah?"
(NOTA : Pandangan penulis
tidak semestinya pandangan Sabahkini.net)
No comments:
Post a Comment