Sunday 3 February 2013

MTEM DESAK PENGERUSI PETRONAS BERUNDUR






Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini menggesa Pengerusi syarikat minyak negara, Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya meletak jawatannya kerana kegagalan melaksanakan tanggungjawab membangunkan ekonomi bumiputera dan hanya mementingkan syarikat-syarikat asing.

Semasa sidang media sempena mesyuarat agung MTEM, pengerusinya Datuk Syed Ali Al-Attas (gambar) mendakwa Petronas mengambil sikap menganaktirikan golongan bumiputera walaupun berkelayakan.

“Dalam mesyuarat yang kali pertama dianjurkan ini, kami sebulat suara menggesa pengerusi Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan lembaga pengarahnya meletak jawatan dan mengundur diri.

“Sepanjang beliau memegang jawatan, kami mendapati Petronas sudah lari daripada tanggungjawabnya dan membantutkan perkembangan usahawan tempatan yang berkecimpung dalam industri kecil dan sederhana,” kata beliau.

Tan Sri Mohd Sidek telah dilantik pada Jun tahun lalu bagi menggantikan pemangku sementara yang dipegang oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

MTEM juga mendakwa aliran wang tunai kumpulan Petronas telah menurun pada kadar RM2.1 bilion kepada RM162.2 bilion dan keuntungan selepas cukai menunjukkan tren penurunan termasuklah penutupan operasi mereka di Sudan.

Kebimbangan juga disuarakan MTEM yang mengatakan Petronas akan mencaturkan nilaian risiko bernilai RM300 bilion untuk tempoh 5 tahun hadapan ini.

Syed Ali juga menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk meneliti perkara yang dibangkitkan MTEM sebelum ia memberikan impak negatif kepada syarikat minyak utama negara tersebut.

“MTEM melihat Petronas sebagai pelindung dan benteng ekonomi, sebarang perkembangan negatif harus dipantau dan diperbetulkan sebelum ia rosak serta perubahan harus berlaku sebelum pilihan raya tahun ini,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment