Saturday 16 February 2013

PENGUNDI 'DAP' BUAT PENILAIAN TERBAIK?







KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, pengundi 'duduk atas pagar' (DAP) perlu membuat penilaian yang bijak terhadap segala usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, ini penting bagi memastikan pilihan mereka tepat. Katanya, hanya kerajaan BN yang mampu membela dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat dengan melaksanakan pelbagai program termasuk program transformasi.

“Ketidaksefahaman antara parti-parti pembangkang menunjukkan kepada masyarkat bahawa kumpulan yang membangkang ini tidak boleh dipercayai.

“Oleh sebab itu, mereka yang atas pagar perlu memberi penilaian yang betul terhadap apa yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan BN. Jelas sekali usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada lain … untuk membantu rakyat meningkatkan ekonomi melalui pelbagai program.

“Semua usaha kerajaan itu harus diambil berat oleh masyarakat dan saya percaya ia dapat membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PBS di Airportview Hotel, di sini, pada Isnin.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri Yang Dipertu Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Pairin berkata, BN akan memberi perhatian terhadap segala tindak-tanduk Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat gagal mencapai kata sepakat sebagai pembangkang di negeri ini.

Katanya, perkara itu menunjukkan kumpulan pembangkang tidak boleh dipercayai untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

“Kita dalam BN sentiasa menumpukan perhatian terhadap keperluan untuk berkhidmat kepada rakyat dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Apa yang berlaku diantara pihak yang lain (pembangkang) itu adalah perkara yang hanya kita perhatikan dan kita akan bincang perkara itu dalam mesyuarat BN,” katanya.

Ditanya sama ada BN sudi menerima kembali SAPP ke pangkuan BN, Pairin berkata: “Mereka sudah keluar, sekiranya mereka mahu masuk, mereka pandai berfikir sendiri”. (NST)

No comments:

Post a Comment