Thursday 7 February 2013

PPPS MULA DAPAT PERHATIAN RAKYAT






SERAH BORANG....Shamsudin sedang menerima borang kemasukan dua orang ahli ke PPPS.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Jawatankuasa penaja Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang baru sahaja menubuhkan cawangan penajanya di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk bandar ini apabila pejabatnya terus dikunjungi orang ramai yang ingin menyertai badan NGO itu.

Pengerusi PPPS Cawangan Sandakan, Shamsuddin Chino, memberitahu sejak kebelakangan ini dia sentiasa menerima maklumbalas positif daripada orang ramai yang tertarik untuk menyertai PPPS yang memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.

Berikutan itu, ujarnya, pejabat sementara PPPS terpaksa menyediakan lebih banyak borang permohonan memandangkan akan lebih ramai masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda bakal menyertai badan NGO tersebut.

"Hari ini sahaja, saya baru menerima kemasukan beberapa orang penduduk di kawasan Parlimen Batu Sapi yang ingin menyertai PPPS di mana mereka berpendapat bahawa badan NGO ini adalah platform terbaik bagi mereka untuk bergiat aktif," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Shamsuddin berkata demikian selepas menerima kemasukan Harun Buku dari Kg Segaliud dan Didi Taitih dari Kg Pulau Shanghai ke dalam PPPS.

Harun, 46, dan Didi, 39, kedua-duanya dari Parlimen Batu Sapi menyertai PPPS bersama-sama sejumlah besar anggota keluarga mereka masing-masing.

Sehubungan dengan itu, Shamsudin berkata sambutan luar biasa masyarakat menunjukkan prinsip perjuangan PPPS diketuai pemimpinnya iaitu Datuk Seri Lajim Ukin diterima baik oleh semua lapisan rakyat.

"Kita tidak menjangkakan sambutan luar biasa seperti ini memandangkan kita difahamkan lebih ramai lagi akan menyertai PPPS sedikit masa lagi," kata Shamsudin.   

Pada bulan lepas, jawatankuasa penaja PPPS Cawangan Sandakan telah dibentuk beliau yang dihadiri seramai 35 orang terdiri dari kalangan pemimpin masyarakat setempat termasuk para peniaga di bandar Sandakan.

Mesyuarat berlangsung di pejabat urusan Syarikat Gerak Borneo Sdn Bhd juga sebulat suara melantik beberapa orang untuk mengisi jawatan-jawatan penting termasuk unit-unit atau biro yang akan disusun atur berdasarkan kesesuaian serta kelayakan pada komuniti yang ada.

Naib Pengerusi disandang Datu Hj Arsad Datu Hj Bachtiyal; Setiausaha (Matsaha Adiris) dan Bendahari (Dayang Hajah Aisah Datu Hj Bachtiyal) manakala jawatan kira-kira disandang Saphia Panasang dan Hajah Delailah Lima.

Seramai 10 orang menganggotai jawatankuasa induk terdiri dari Jainal Mad Daud, Daniel Hj Suhaimi, Datu Ilahan Datu Amilbangsa, Syed Iskandar Syed Ismail, Datu Nasir Hj Datu Sallahudin, Suraidah Ahmad, Datu Abubakar Ombra Datu Hj. Bacthiyal, Datu Eric Ibni Almarhum Sultan Ombra Amilbangsa, Awang dan Shamsudin Esa.

No comments:

Post a Comment