Oleh : CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Berikutan
perletakan jawatan 14 ahli Wanita PKR Sabah Khamis lalu, Zuraida Kamaruddin
mengingatkan ahli parti untuk setia kepada impian Pakatan Rakyat (PR) untuk
menawan Putrajaya daripada berebut untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan
datang.
Ketua Wanita PKR itu
mengakui kepada The Malaysian Insider masih lagi terdapat rasa tidak puas hati
dalam pemimpin PKR Sabah terhadap kemungkinan mereka tidak akan dicalonkan.
Namun beliau menjelaskan ia
dilakukan kerana parti itu telah memperuntukkan kerusi bagi sekutu terbaru PR,
Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS).
“Saya tak boleh kata
langsung tiada (rasa tidak puas hati). Namun mereka perlu bersikap rasional.
Adakah mereka nak berada di sini untuk jangka masa pendek atau panjang?”
katanya dalam panggilan telefon dari Sabah petang semalam.
“Demi kepentingan menentang
Barisan Nasional (BN) dan Umno, apa yang kami lakukan adalah meletakkan yang
terbaik,” tambahnya.
APS dipimpin oleh Ahli
Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, bekas timbalan presiden
komponan BN, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), dan
PPPS diketuai Ahli Parlimen Beaufort dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk
Seri Lajim Ukin.
Kedua-dua mereka
meninggalkan BN tahun lalu bagi membentuk pakatan bersama PR, yang kini sedang
menyelesaikan pemhagian kerusi antara DAP, PKR dan PAS, dan bakal menjadikan
pembangkang di Sabah dalam situasi yang huru-hara.
Winnie Juani, yang merupakan
Naib Pengerusi Wanita PKR Sabah, Ketua Sayap Penampang meninggalkan parti itu
Khamis lalu bersama 13 lagi pemimpin bahagian.
Beliau berkata kepada The
Malaysian Insider tidak mempunyai sebab khusus, sebaliknya hanya mahu
merehatkan diri daripada kehidupan politik yang sibuk.
Juani, 52, turut berkata
beliau meninggalkan parti itu kerana kepimpinan tidak mengesahkan sama ada
beliau akan bertanding Moyog, kerusi Dun di bawah BN dalam Parlimen Penampang.
Zuraida berkata beliau ada
bercakap dengan Juani selepas perletakan jawatan mengejut itu, namun
menghormati keputusan berkenaan.
“Beliau kata mahu berehat
dan memberi keutamaan kepada keluarga. Ada yang tidak boleh menahan tekanan perlukan
masa ... Jadi biar mereka berehat, kita tidak kekurangan pemimpin dan calon
wanita,” katanya.
Zuraida bagaimanapun tidak
mengesahkan wujudnya spekulasi Juani meninggalkan PKR disebabkan isu pencalonan
namun berkata kepentingan PR adalah menawan Putrajaya dan setiap ahli
seharusnya mengetepikan kepentingan peribadi mereka.
“Tapi jika mereka mahu
berehat kerana tidak puas hati dengan perkara ini, kami hormatinya,” katanya.
Zuraida menambah Juani
“keseorangan dalam membuat keputusan”, dan menegaskan PKR dan PR, sama ada di
peringkat nasional mahupun Sabah, tidak terkesan dengan perletakan jawatan itu.
Bagi menggantikan Juani,
Setiausaha Wanita PKR Sabah, Esther Otion telah dipertanggungjawabkan melihat
perkara itu.
“Bahagian kami kukuh dan
kami akan memastikan jentera terus bekerja,” katanya.
Moyog adalah satu daripada
dua kerusi Dun di bawah Parlimen Penampang dan secara tradisinya merupakan kubu
kuat BN.
Penampang dikuasai Presiden
UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok, sementara Ketua Penerangan partinya, Datuk
Donald Peter Majuntin adalah Adun Moyog dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo
merupakan Adun Kapayan.
Berikutan perletakan
jawatannnya itu, Juani berkata beliau didatangi 'Wakil Pembangkang' dan
mempelawanya menyertai mereka, namun menegaskan keputusannya akan bersama
dengan mereka yang mengikutinya meninggalkan PKR.
Terdapat dua lagi
pembangkang di Sabah, — Parti Maju Sbah (SAPP) diketuai Datuk Yong Teck Lee dan
Parti Pembaharuan Negeri (STAR) diketuai oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Perbincangan kerusi antara
PR dan kedua-dua parti belum menemui penyelesaian, namun memandangkan pilihan
raya semakin hampir, pertikaian itu dijangka akan dapat diselesaikan. (TMI)
No comments:
Post a Comment