Saturday 16 February 2013

RAKYAT SABAH TIDAK BERGANJAK DARIPADA BN




TERIMA KASIH...... Salah seorang penduduk menerima BR1M RM500 yang disampaikan Musa dan disaksikan oleh ADR Libaran Juslie.

Oleh : SAIMON S JUMADI

SUNGEI SIBUGA :  Sambutan luar  biasa  yang diberikan rakyat negeri ini terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika melakukan lawatan ke Beaufort, Papar dan Tuaran pada Khamis lepas membuktikan bahawa rakyat menyayangi kepimpinannya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang baik hati dan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat pelbagai kaum maka sebab itu rakyat tidak mahu melepaskan peluang untuk berjumpa dengan beliau.

"Ia menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap Perdana Menteri semakin bertambah berikutan sikap kepimpinannya yang sentiasa prihatin dan memenuhi citarasa masyarakat iaitu selari dengan Konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan itu.

"Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan bersyukur dengan sokongan memberangsangkan rakyat negeri ini terhadap beliau yang juga turut menunjukkan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang menyaksikan seramai 4,000 orang penerima dari kawasan N.42 Sungai Sibuga menerima bantuan untuk fasa kali kedua itu.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan rakyat terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN demi kesinambungan pembangunan.

Menurut beliau, negeri ini akan jauh lebih membangun dari segala aspek pembangunan di bawah pentadbiran kerajaan BN yang telah terbukti mampu mengotakan apa jua janji-janjinya.

Beliau berkata, pembangkang hanya tahu menabur janji manis semata-mata untuk meraih sokongan politik dan berbanding dengan kerajaan BN yang sentiasa berusaha dan bekerja keras demi kepentingan rakyat jelata.

"Oleh itu, kita mesti pertahankan kerajaan BN yang prihatin kepada rakyat... macam-macam bantuan dan inisiatif yang telah diberikan seperti BR1M dan banyak lagi membuktikan bahawa kerajaan hari ini adalah yang terbaik dan perlu terus kekal.

"Saya percaya ... negeri kita akan lebih maju dan berdaya saing di bawah pemerintahan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 nanti," ujar beliau selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran.

Sementara itu, pada satu majlis berasingan beliau juga turut menyampaikan angpau, limau mandarin dan beras kepada kira-kira 500 warga emas dari sekitar Sungai Sibuga sempena Tahun Baru Cina yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bandar Sibuga Jaya, Batu 8.

Dalam ucapannya, beliau menggesa rakyat agar sentiasa memelihara perpaduan bagi membolehkan mereka terus selesa menikmati kehidupan yang aman.

Katanya, perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan anutan juga akan meyakinkan pelabur datang ke Sabah sekali gus merancakkan ekonomi negeri yang ternyata memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Tambah beliau, perpaduan yang kukuh turut menyumbang kepada kestabilan politik selain peningkatan ekonomi membolehkan kerajaan terus menyalurkan bantuan dan peruntukan demi pembangunan dan kesenangan rakyat.

Musa juga berharap rakyat mengambil peluang perayaan besar untuk kunjung-mengunjungi saudara dan rakan taulan, sekali gus merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol, Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Haji Mahiruddin dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Libaran, Suhaimi Nasir serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong.


No comments:

Post a Comment