Wednesday 20 February 2013

SABAH SELAMAT SEKALIPUN DICEROBOH






EKSKLUSIF....Temubual antara Juslie dan Sabahkini.Net mengenai kes pencerobohan asing.


Oleh: SHAIMON S JUMADI           Foto : SAFFIE S JUMADI

LIBARAN : Ahli Parlimen Libaran, Datuk Hj Juslie Ajirol menegaskan  Rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang dan berasa takut mengenai kehadiran tetamu tanpa diundang, penceroboh yang memasuki di perairan Lahad  Datu yang berpakaian ala tentera, kononnya turut membawa senjata api baru-baru ini.

Katanya, pihak keselamatan khususnya, bala tentera kita termasuk Navy, Pasukan Marin Polis, Maritim dan Tentera telah mengawal rapi di sepanjang pantai perairan sempadan Filipina.

"Saya ingin memperingatkan masyarakat setempat agar tidak menggembar-gemburkan isu ini dan membuat spekulasi sembarangan bagi menakut-nakutkan rakyat kerana Ketua Polis Negara sudah memberi jaminan  semuanya dalam keadaan selamat.

"Kita tidak tahu apa motif  sebenar  penceroboh itu memasuki perairan Sabah dan berharap pasukan keselamatan dapat menjalankan rundingan yang baik dengan kumpulan berkenaan, sekaligus menyelesaikannya secara aman tanpa meibatkan insiden yang menggugat keselamatan negara,” ujarnya.

Juslie selanjutnya memuji Presiden Pertubuhan Masyarakat Suluk Bersekutu (USCO) Bentan Alamin atas keberaniannya membuat teguran yang bernas mengenai tindakan sekumpulan warga asing tersebut dengan membuat tuntutan yang tidak munasabah yang boleh mencemarkan nama baik suku kaum  Suluk yang ada di bumi Sabah ini.

Juslie berkata demikian kepada Sabahkini.Net dalam satu sesi wawancara sejurus selepas merasmikan Penutupan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat anjuran Kolej Komuniti Sandakan yang diadakan di Dewan Serbaguna Ulu Dusun, kelmarin.

Seramai  130 orang masyarakat setempat telah menghadiri karniwal yang diadakan selama 2 hari berturut-turut.

Dalam ucapannya, Juslie antara lain mengajak kepada masyarakat di Ulu Dusun agar merebut segala peluang yang  disediakan oleh kerajaan contohnya kursus jahitan, kursus pendawaian elektrik dan kursus membuat kuih muih.

Dengan mengikuti kursus-kursus tersebut ia merupakan penambahan ilmu pengetahuan dalam satu-satu  kemahiran ke arah beberapa bidang yang diceburi.

Turut hadir pada majlis itu Datuk Hj Zakaria Hj Edris Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum-Gum.

No comments:

Post a Comment