Tuesday 5 February 2013

SARINGAN SPRM BUKAN TEKANAN PERSEPSI






TARGET.....Ahli Parlimen Silam, Dr Haji Salleh Kalbi (empat dari kanan) dipercayai salah seorang yang tidak lepas tapisan SPRM.
 

Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Langkah Umno menghantar senarai nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan kerana tekanan persepsi yang dihadapi oleh parti tersebut, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebaliknya menegaskan ia adalah demi memastikan parti tersebut telus.

Menurut Tengku Adnan lagi, langkah yang diambil oleh Umno itu bukan sesuatu yang baru malahan menegaskan setiap pilihan raya umum saringan akan dilakukan keatas semua senarai calon  dikemukakan setiap negeri.

“Saringan ini bukan kerana desakan atau tekanan persepsi keatas Umno. Ia tiada kaitan langsung. Umno sudah lakukan saringan ini sejak dahulu lagi, setiap pilihan raya kami akan buat saringan ke atas semua calon,” kata pemimpin Umno veteran tersebut.

Apabila ditanya sama ada langkah tersebut bertujuan untuk menangkis skandal-skandal yang dihadapi Umno sehinggakan menjejaskan imej parti utama dalam komponen Barisan Nasional tersebut, Tengku Adnan menjawab: “Mana ada skandal, tiada langsung kena mengena dengan skandal-skandal yang dihadapi oleh calon Umno.”

Menjelang pilihan raya, Umno dan BN berhadapan dengan beberapa skandal besar didedahkan oleh lawan mereka Pakatan Rakyat sehingga menjejaskan imej mereka sebagai sebuah parti yang bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa.

Antaranya skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), derma politik RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman, skandal tanah di Bukit Raja melibatkan Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah dan banyak lagi.

Bagaimanapun, Tengku Adnan mengecam pembangkang yang lantang mengkritik Umno tetapi tidak mengikuti langkah yang diambil dengan menghantar senarai calon ke SPRM.

“Pembangkang yang tidak hantar untuk saringan kepada SPRM, mengapa mereka tidak buat?” tambah beliau lagi.

Pada November tahun lalu, Tengku Adnan mendedahkan persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah air.

Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.

Malah Umno terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia  'angkuh hati' dan sanggup menyebarkan persepsi buruk mengenai parti.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said juga bertindak membidas pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai takut dengan bayang-bayang  sendiri apabila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon kepada SPRM untuk saringan.

Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merayu agar pengundi memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar reformasi yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti itu dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan.

Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Di samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.

No comments:

Post a Comment