Friday 22 February 2013

SIJIL LAHIR BUKAN PENGESAHAN WARGANEGARA






KOTA KINABALU : Pemberian sijil lahir kepada anak warga asing yang lahir di Sabah bukan pengesahan sebagai warganegara, kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendafataran Negara (JPN) Sabah Jainisah Mohd Noor.

Katanya, biarpun setiap kelahiran wajib didaftarkan dengan JPN, penentuan status warganegara adalah berdasarkan undang-undang, termasuk pengiktirafan perkahwinan ibu bapa di negara ini.

"Ramai yang menganggap anak warga asing yang memiliki sijil lahir JPN mendapat taraf warganegara secara automatik. Sebenarnya, ini tidak tepat.

"Sijil lahir yang diberikan sebenarnya tidak mengiktiraf anak warga asing sebagai warganegara. Tetapi sijil itu hanya sebagai akuan anak tersebut dilahirkan di negara ini," jelasnya pada taklimat media bertajuk 'Evolusi Kad Pengenalan dan Sijil Lahir di Sabah' anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri dengan JPN Negeri di sini, Khamis.

Jainisah berkata anak pasangan warga asing boleh diiktiraf sebagai warganegara jika pasangan berkenaan bertaraf pemastautin tetap dan perkahwinan mereka diiktiraf di Malaysia.

Taraf warganegara juga diberikan kepada anak yang dilahirkan kepada pasangan berlainan kewarganegaraan dengan syarat seorang daripadanya merupakan warganegara dan perkahwinan mereka diiktiraf di Malaysia, katanya.

"Bagi anak yang dilahirkan kepada pasangan berlainan kewarganegaraan yang mana perkahwinan mereka tidak diiktiraf (di negara ini), anak itu menjadi warganegara jika ibunya adalah warganegara.

"Lain pula jika bapanya yang warganegara (bagi perkahwinan tidak diiktiraf), anak itu dianggap warga asing kerana kita melihat tanggungjawab anak adalah pada ibu yang melahirkannya," jelasnya. (BERNAMA)

1 comment:

  1. Jika emak seorang pati dan perkahwinan tak berdaftar tetapi telah menghilangkan diri dan sehingga kini tak dapat dikesan bagaimana dengan si anak???? Nak hantar balik indon tak tahu nak bagi siapa. Nak menetap terus terpaksa sentiasa melarikan diri daripada pihak berkuasa. Nak buang ke mana anak ni?????..........

    ReplyDelete