Saturday 9 February 2013

SISTEM DAFTAR LEWAT PERLU DIROMBAK






Oleh : GEGAR
                  
GABUNGAN NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) tampil ke SUHAKAM bagi membela nasib seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak, Puan Ollivia Julius @ Mastura Anizan yang dinafikan hak anaknya untuk mendapat My Kad.

Anaknya, Nurul Hamizah Yasmin kini berusia 15 tahun menerima tekanan yang begitu hebat apabila tidak memperolehi kad pengenalan.

Nurul Hamizah telah dilahirkan pada 27 November 1998. 8 bulan selepas itu Nurul Hamizah memperolehi sijil kelahiran dengan cop 'Pendaftaran Lewat'.

Nurul Hamizah terpaksa membawa sijil lahirnya ke mana sahaja dan seringkali berasa malu untuk keluar rumah. Ketika Nurul Hamizah berusia 12 tahun, Puan Ollivia telah mengemukakan permohonan Mykad daripada Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Kota Kinabalu untuk anaknya.

Namun, permohonan tersebut ditolak oleh pihak JPN atas alasan Sijil Kelahiran tersebut perlu dibawa ke mahkamah terlebih dahulu untuk pengesahan.

Kemudian, pada 2 September 2010, Puan Ollivia telah membawa perihal ini kepada Mahkamah Rendah Kota Kinabalu sebagaimana disarankan oleh pihak JPN.

Pihak Mahkamah Rendah menerima permohonan Puan Ollivia dan memintanya menunggu sehingga pihak mahkamah menghubunginya.

Bagaimanapun, semenjak 2010 sehingga sekarang (2013) pihak mahkamah belum menghubungi Puan Ollivia. Pihak mahkamah berulang kali memberikan alasan yang sama iaitu “masih banyak kes yang hendak diselesaikan semenjak 2009, nanti kami hubungi”.

Untuk itu, Puan Ollivia telah mengajukan permasalahan ini kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datin Jainab. Namun, sehingga kini tidak memperolehi sebarang respon.

Begitu juga dengan Badan Pengaduan Awam, meminta Puan Ollivia terus berhubung dengan pihak mahkamah, tanpa mengambil sebarang keterangan daripada Puan Ollivia.

Seterusnya, Puan Ollivia mengajukan perkara ini kepada Sabah Law Association (SLA) untuk tindakan undang-undang. Respon daripada SLA meminta Puan Ollivia membuat satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, surat tersebut ditolak pihak Mahkamah Tinggi atas alasan kes tersebut perlu diselesaikan di peringkat Mahkamah Rendah dan menyatakan dokumen permohonan Puan Ollivia telah dihantar ke Putrajaya.

Tempoh masa menunggu yang terlalu lama dan kesukaran memperolehi Mykad, memberikan tekanan kepada Nurul Hamizah dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Beberapa insiden seperti hampir ditahan pihak Polis kerana tidak memperolehi MyKad dan hanya membawa sijil kelahiran, kesukaran membuat urusan kewangan di bank menekan Nurul Hamizah sekaligus membawa kesan trauma dalam dirinya apabial tidak berani keluar rumah.

Perkara ini bertambah kritikal apabila Nurul Hamizah bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini dan memerlukan Mykad bagi menduduki peperiksaan. Begitu juga dengan Puan Ollivia, terpaksa menghabiskan wang ringgit dalam menguruskan Mykad anaknya.

Puan Ollivia merupakan ibu tunggal dengan empat orang anak dan salah seorang anaknya adalah Orang kurang upaya (OKU). Puan Ollivia hanya bekerja sambilan sebagai mak andam dan mengajar kelas mengaji.

Pendapatan bulanan untuk menyara keluarganya pada setiap bulan tidak mencukupi dan ditambah lagi dengan permasalahan Mykad anaknya.

Maka, GEGAR membawa perkara ini untuk perhatian SUHAKAM dan media. GEGAR berpendirian, sistem hari ini begitu menekan rakyat.

Menurut SUHAKAM, kes sebegini telah banyak berlaku dan seringkali mengundang penafian hak rakyat Sabah. Persoalannya, mengapa masih wujud masyarakat Sabah yang sukar memperoleh Mykad? Sedangkan pada masa yang sama MyKad diberikan kepada Pendatang Asing seperti "menghantar Pizza ke rumah"? Ini menunjukkan kegagalan sistem kerajaan hari ini dan membebankan rakyat.

Maka, GEGAR menyarankan reformasi sistem tadbir urusan Daftar Lewat Sijil Lahir dan MyKad dilakukan meskipun ia melibatkan pertukaran kerajaan. Di peringkat SUHAKAM, berjanji untuk membawa isu ini kepada pengarah JPN dan Kementerian Dalam Negeri untuk di selesaikan.

SUHAKAM juga mengharapkan kerjasama semua pihak terutama anak muda dalam menyebarkan mesej hak asasi dan mempertahankannya.

No comments:

Post a Comment