Friday 22 February 2013

TIDAK PERLU LAYAN TUNTUTAN LIAR






TEMURAMAH.....Datuk VK Liew sedang ditemuramah mengenai  tuntutan  Penceroboh Asing di Lahad Datu.

Oleh: SHAIMON S JUMADI          Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN : Kerajaan tidak perlu mempertimbangkan tuntutan yang dibuat sekumpulan warga asing yang menceroboh masuk perairan negara dekat Lahad Datu pada 13 Februari lalu.

Ini kerana  tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu adalah tidak timbul memandangkan dari segi perundangan saja semua pihak boleh merujuk kepada fakta sejarah.

"Kita difahamkan bahawa menurut fakta sejarah, Kesultanan Sulu telah dimansuhkan pada awal tahun 1930-an apabila Kerajaan Filipina menjadi sebuah negara republik."

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata demikian kepada Sabahkini.Net sejurus selepas menyampaikan BR1M 2.0 Fasa 1 bagi kawasan Tanjung Papat yang dilangsungkan di Dewan Masyarakat Sandakan, pagi kelmarin.

"Jadi, tidak timbul soal tuntutan apabila sesebuah dinasti itu sudah pun dimansuhkan sejak sekian lama,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, katanya, pihak kerajaan jangan melayan dan perlu menolak sekeras-kerasnya kerana tuntutan dari segi undang-undang adalah tidak wajar sama sekali; lebih-lebih lagi latarbelakang mereka sukar dikenal pasti.

Justeru, katanya lagi, rakyat tidak perlu mewujudkan sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya secara aman tanpa melibatkan insiden yang tidak diingini berlaku.

"Rakyat jangan bimbang kerana pasukan keselamatan kita akan melakukan yang terbaik bagi mengawal keadaan demi kesejahteraan dan keharmonian negara ini," ujar Ahli Parlimen Sandakan itu.

No comments:

Post a Comment