Thursday 7 February 2013

TOLAK PEMBANGKANG DEMI KEMAKMURAN






HULUR....Surady menyampaikan bantuan RM100 kepada salah seorang murid.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SUGUT : Rakyat di negeri  ini yang inginkan kemajuan lebih pesat dalam aspek pembangunan dan kemakmuran; harus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menolak parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk Surady Kayong, menegaskan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bukan sahaja mampu menepati segala janjinya; tetapi berkeupayaan untuk mempertahankan kemakmuran negara ini.

Beliau berkata, kepimpinan kerajaan juga sentiasa turun padang bagi mengenal pasti setiap permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi, biarpun sibuk dengan tuntutan tugas tetapi rakyat tetap didahulukan.

Katanya, keprihatinan kepimpinan kerajaan ini membolehkan semua kaum tanpa mengira fahaman dapat menjalani kehidupan yang lebih harmoni sambil menikmati pelbagai bantuan dan inisiatif daripada pihak kerajaan.

"Inilah kerajaan terbaik kepada kita semua. Keharmonian yang dikecapi adalah disebabkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin BN dalam memainkan peranan masing-masing. Justeru, kita memerlukan kepimpinan yang cekap dan boleh menguruskan pembangunan negara dari segi ekonomi.
"Dalam hal ini, kerajaan BN sudah membuktikan keupayaannya dalam mengurus negara termasuk juga negeri ini. Kita boleh saksikan macam-macam bentuk pembangunan yang dinikmati oleh negeri ini termasuk di kawasan luar bandar," jelasnya.

Surady berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Kebangsaan (SK) Golong, dekat sini, kelmarin.

Katanya, pemberian bantuan awal persekolahan kepada para pelajar yang layak seperti disediakan kerajaan adalah membuktikan keprihatinan pihak kerajaan dalam membantu rakyat, terutamanya di bidang pendidikan.

Tambah beliau, sejak bantuan itu diageh-agehkan telah dapat meringankan bebanan ibu bapa, khususnya kepada yang mempunyai anak ramai bersekolah.

"Kita boleh lihat keikhlasan kerajaan memberikan bantuan ini apabila semua golongan mendapat manfaatnya. Oleh itu, rakyat wajar bersyukur dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN memandangkan nikmat pembangunan ini jarang-jarang dirasai oleh negara lain.

"Oleh yang demikian, manfaatkan sebaik-baiknya pemberian ini demi mempastikan kelengkapan anak-anak yang bersekolah dapat di atasi sekali gus meningkatkan ilmu pengetahuan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment