Monday 4 February 2013

WARTAWAN MALAYSIA MAUT DI LUBNAN




                     
WARTAWAN Malaysia Claudia Theophilus, 42, penerbit di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, mati dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di Baakleen yang terletak di sebuah kawasan pergunungan di Lubnan, semalam.
  
Duta Besar Malaysia di Lubnan, Ilango Karuppannan berkata menurut laporan awal polis, tiada elemen jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia pada kira-kira 2.30 pagi waktu Lubnan.
  
"Sebaliknya, ia berlaku secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari satu senjata api," katanya ketika dihubungi Bernama kelmarin.
  
Beliau berkata mayat Claudia akan dibawa pulang selepas segala urusan forensik dan bedah siasat selesai dijalankan.
  
Menurutnya, Claudia berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lubnan.
  
Laporan media menyebut mangsa tiba di Lubnan pada 28 Januari lalu untuk melawat kawannya di negara itu.
  
Menurut laporan itu, Claudia terkena tembakan ketika beliau dan dua rakannya sedang 'bermain' dengan beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.
  
Mendiang pernah bekerja dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini.

Dalam pada itu, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kes kematian wartawan Malaysia, Claudia Theophilus.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Anifah berkata kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang.

Dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal keselamatan warga Turki. Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu.

Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment